PRN 2023: Jelajah Bas MADANI Edar Bakul Rahmah Sekitar Pokok Sena Dapat Sambutan

Ketua Pembangkang DUN Kedah merangkap ADUN Suka Menanti Zamri Yusuff mewakili pengurusan Bas MADANI meraikan warga emas selepas penyerahan Bakul Rahmah Parlimen Pokok Sena pada Sabtu. Foto Shaimi.
POKOK SENA, 26 Jun – Program Bas MADANI meneruskan siri jelajah mereka dan di Kedah kali ini mereka singgah di parlimen Pokok Sena, di sini pada Sabtu.
Menyambut ketibaan bas berkenaan ialah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Pokok Sena yang bertindak sebagai penganjur bersama program berkenaan.
Jelajah tersebut membawa bakul-bakul makanan atau lebih dikenali dengan nama Bakul Rahmah sumbangan daripada Kerajaan Perpaduan untuk diedarkan kepada warga emas dan penduduk dalam parlimen ini yang layak dari golongan B40 ataupun mereka yang memerlukan.

Bantuan tersebut berupa barangan asas keperluan harian seperti beras, tepung, minyak masak dan gula dan sambutan yang diterima daripada masyarakat setempat amat menggalakkan.
Menurut Ketua Pembangkang DUN Kedah merangkap ADUN Suka Menanti Zamri Yusuff memberitahu pihaknya akan melaksanakan program berkenaan lebih kerap bertujuan membantu rakyat yang memerlukan di samping meraikan warga emas menaiki bas berkenaan menjelajah kawasan sekitar di setiap lokasi penyerahan Bakul Rahmah.
Edaran Bakul Rahmah menggunakan bas MADANI diadakan di sekitar kawasan dalam DUN Bukit Pinang iaitu di Kampung Tualang, Langgar, Hutan Kampong, Alor Senibong, Lepai dan lain-lain kawasan dalam parlimen ini yang akan dianjurkan dari semasa ke semasa bagi membantu meringankan beban rakyat.
Bas MADANI turut bertindak membawa para peserta termasuk warga emas mengadakan lawatan ke sekitar JDM lain dalam parlimen Pokok Sena pada Program Sehari tersebut dan berakhir di lokasi pemberian Bakul Rahmah.

“Kita akan menggunakan pendekatan bertemu rakyat seramai mungkin dan meneruskan program-program seperti ini dari semasa ke semasa, penduduk yang memerlukan mesti dibantu,” kata Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Pokok Sena, Zahari Che Ani.
Ini merupakan antara inisiatif Kerajaan Perpaduan menerusi Jelajah Bas MADANI menyantuni para penduduk yang memerlukan bantuan menerusi Program Rahmah dan bakal diperluaskan ke seluruh pelusuk negara.
