PRN 2023: Hasrat PN Rampas Negeri Sembilan Ibarat ‘Masuk Bakul Angkat Sendiri’

Iswardy (kiri) menyindir Ahmad Faizal adakah beliau sanggup menjadi ‘giant killer’ sekali lagi seperti yang ‘dilakukannya’ di Tambun pada PRU15. Foto Arkib.
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan kononnya yakin akan membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan ‘masuk bakul angkat sendiri’.
Dalam nada menyindir, penganalisis politik Iswardy Morni bertanya adakah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sekali lagi mampu menjadi ‘giant killer’ seperti mana yang ‘dilakukannya’ di Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Saya ingin bertanya adakah Peja (Ahmad Faizal) mampu menjadi ‘giant killer’ di Negeri Sembilan seperti mana yang ‘dibuatnya’ di Tambun menentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRU15?,” soalnya.
Beliau seterusnya mempersoalkan kredibiliti Ahmad Faizal yang tidak mampu mentadbir Perak semasa menjadi menteri besar hingga sanggup menjadi pengkhianat mandat rakyat pada PRU14.
Malah beliau ragu-ragu dengan ‘kajian’ yang dibuat dan sejauh mana kajian itu mempunyai merit atau kewajaran PN mampu merampas Negeri Sembilan.
“Sepanjang pemerintahan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun, terlalu banyak inisiatif dan bantuan disalurkan kepada rakyat termasuk ketika berdepan pandemik Covid-19 yang dicipta PN menyebabkan negara ditutup paling lama di dunia akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” tambahnya.

Terdahulu Ahmad Faizal mendakwa berdasarkan kajian, gabungan itu berkeyakinan tinggi berlaku perubahan dalam kalangan pengundi Melayu di Negeri Sembilan yang akan menyokong PN dan membawa kemenangan kepada gabungan berkenaan.
“Kami yakin pengundi Melayu di negeri ini yang sebelum ini menyokong Barisan Nasional (BN) akan beralih menyokong PN.
“Kami yakin PN berpotensi untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRN ini nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jentera PRN peringkat PN Negeri Sembilan di Bilik Gerakan Utama PN negeri di Paroi, lewat petang tadi.
Dalam pada itu beliau berkata, pembahagian 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kalangan parti gabungan PN bagi menghadapi PRN di Negeri Sembilan mencapai kata sepakat tanpa sebarang masalah.
Beliau berkata, pimpinan BERSATU, PAS dan GERAKAN negeri berpuas hati dengan agihan kerusi yang diperuntukkan bagi parti masing-masing.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci jumlah kerusi yang akan ditandingi setiap parti berkenaan.
“Kami (PN) bertanding semua 36 kerusi di Negeri Sembilan, tapi pecahannya tidak perlu dijelaskan di sini kerana kami bergerak sebagai satu pasukan iaitu Perikatan Nasional.
Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, mengesahkan gabungan itu akan bertanding di semua 245 kerusi DUN pada PRN di enam negeri.
