PM Anwar Umum Diskaun 25 Peratus Cukai Taksiran Rumah Mampu Milik Di KL

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni rakyat pada Sesi Temu Mesra Bersama Pemilik Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan perasmian tempat letak kereta Taman Tasik Metropolitan Kepong. Foto Facebook.

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Setelah mendengar keluhan rakyat di Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memutuskan cukai taksiran harta bagi kategori kediaman rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang siap selepas 2014, akan diberi pengurangan 25 peratus bermula penggal kedua tahun ini.

Perdana Menteri berkata, pengurangan cukai taksiran itu akan memberi manfaat kepada 25,677 pemilik rumah mampu milik, membabitkan pengurangan hasil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak RM2.07 juta setahun.

“Selepas mendengar keluhan rakyat di peringkat bawahan yang meminta diberikan pengurangan, saya bersetuju memberi pengurangan ini untuk pemilik rumah mampu milik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Temu Mesra Bersama Pemilik Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan perasmian tempat letak kereta Taman Tasik Metropolitan Kepong di sini, hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni rakyat pada Sesi Temu Mesra Bersama Pemilik Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan perasmian tempat letak kereta Taman Tasik Metropolitan Kepong. Foto Facebook.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Saleh.

Disember tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan semua kediaman berharga di bawah RM300,000 sekitar Putrajaya diberikan potongan cukai taksiran 30 peratus daripada jumlah yang dikenakan bermula 1 Januari lalu.

Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan, kebanyakan pembangunan tanah baharu di Wilayah Persekutuan dibekukan kerana terlalu banyak tanah dijual secara semborono dan terlalu cepat.

Justeru, katanya, ia perlu dikawal kerana tanah adalah khazanah yang akan menjaga kepentingan generasi akan datang.

“Permohonan yang kita luluskan, kalau lima ekar, itu bersyarat. Jangan semua tunduk pada syarat pemaju, kita letakkan syarat seperti di mana lokasi kawasan hijau, kawasan peniaga dan penjaja bersih serat tempat tinggal orang berpendapatan rendah.

“Saya harap kerjasama rakyat dan pemaju untuk memahami bahawa selok-belok lama seperti memberi komisyen serta wang haram, wajib dihentikan.

“Kalau kita dapati ada pemaju terus mengamalkan itu, kita akan batalkan kelulusan serta-merta,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau turut meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur mempercepatkan projek yang sudah mendapat kelulusan supaya dapat disiapkan segera dan mengelak kos pembangunan bertambah.

“Tiada erti pembangunan jika kita tidak jamin keselesaan semua kelompok. Saya mahu Kuala Lumpur menjadi contoh pembangunan bandar sebenar dan biar semua bandar raya melihat contoh ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *