Polis Marin Rampas 166 Karton Minuman Keras Seludup

Sebahagian minuman keras yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Tuaran.

TUARAN, 3 Apr – Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 166 karton minuman keras yang dipercayai diseludup dalam serbuan sebuah rumah di Tamparuli di sini.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, serbuan kira-kira jam 3 petang itu merampas pelbagai jenama minuman keras yang dipercayai tidak bercukai dianggarkan bernilai RM27,148.

Beliau berkata, serbuan menerusi operasi Op Khas Aidilfitri berkenaan dilancarkan berdasarkan maklumat awam.

“Selepas menjalankan operasi intipan selama dua jam, pasukan operasi menyerbu rumah berkenaan dan menemukan 166 karton minuman keras pelbagai jenama.

Sebahagian minuman keras yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Tuaran.

“Hasil pemeriksaan lanjut juga menemukan longgokkan minuman keras pelbagai jenis yang disyaki tidak bercukai,” katanya ketika dihubungi di sini.

Ahmad berkata, tiada sebarang tangkapan berjaya dilakukan berikutan rumah berkenaan ditinggalkan dalam keadaan pagar tidak bertutup dan pintu kaca rumah juga tidak berkunci semasa serbuan.

Katanya, pihaknya juga menunggu lebih dua jam di rumah itu namun tiada pemilik yang hadir menuntut barangan berkenaan.

“Pasukan operasi kemudian merampas semua barangan terbabit untuk siasatan mengikut Akta Kastam.

“Semua minuman itu dibawa ke Pejabat PPM Kota Kinabalu untuk laporan polis sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *