Pertimbang Cadangan Bina SBP, MRSM Di Daerah Manjung – Abul Jais

Ketua Cabang KEADILAN Beruas, Abul Jais Ashfaq Ahmed berpandangan sudah sampai masanya sebuah SBP atau MRSM dibina di daerah Manjung bagi membantu golongan B40 menerima pendidikan berkualiti. Foto Facebook Pejabat Penerangan Daerah Manjung

MANJUNG, 1 Jun – Pertimbangan untuk membina sekolah berasrama penuh (SBP) di daerah Manjung perlu diperhalusi kerajaan berdasarkan keputusan cemerlang dalam peperikaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan pada 27 Mei lalu.

Cadangan tersebut disuarakan Ketua Cabang KEADILAN Beruas Abul Jais Ashafq Ahmed yang melihat terdapat ruang bagi penyediaan institusi berkenaan di daerah ini selain Ipoh, Taiping, Kuala Kangsar dan Teluk Intan.

Ia juga berdasarkan rekod peningkatan pelajar lulus peperiksaan itu di daerah ini iaitu 90.04 peratus pada tahun 2023 berbanding 87.26 peratus pada 2022.

Sebuah SBP daerah Manjung akan melengkapkan kemudahan pendidikan berkualiti bagi manfaat ratusan pelajar cemerlang tanpa perlu ke Ipoh atau Taiping seperti sebelum ini.

“Saya melihat trend kelulusan pelajar lulus SPM tahun ini amat memberangsangkan dan sudah tentulah pihak Kementerian Pendidikan (KPM) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA) dapat mempertimbangkan pembinaan sebuah sekolah berasrama penuh di daerah Manjung bagi manfaat penduduk di sini dan Beruas serta kawasan sekitar.

Ketua Cabang KEADILAN Beruas, Abul Jais Ashfaq Ahmed berpandangan sudah sampai masanya sebuah SBP atau MRSM dibina di daerah Manjung bagi membantu golongan B40 menerima pendidikan berkualiti. Foto Facebook Pejabat Penerangan Daerah Manjung

“Selain terkenal sebagai destinasi pelancongan sebagai pintu masuk ke Pulau Pangkor, Manjung juga kini sedang membangun dengan pelbagai kemudahan kerajaan tanpa perlu berurusan di Ipoh.

“Sudah pastilah dengan penubuhan SBP atau MRSM di Manjung akan meletakkan daerah ini sebagai salah satu pusat kecemerlangan utama ditambah lagi dengan kewujudan Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar yang berjarak hanya setengah jam sahaja dari daerah ini,” ujarnya.

Tanpa menafikan sumbangan sekolah aliran biasa, Abul Jais melihat keperluan sebuah SBP atau MRSM di sini mampu membantu keluarga dari golongan B40 yang tidak berkemampuan dari segi kewangan meneruskan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik.

Antara Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Perak ialah Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping yang menjadi pusat kecemerlangan pendidikan di negeri ini, juga boleh diwujudkan di daerah Manjung. Foto Seratas

Kerajaan Negeri Perak katanya, pasti akan bersetuju dengan cadangan ini dan tapak sesuai bagi pembinaan institusi itu boleh dibincangkan bagi menjadikan Manjung sebuah lagi daerah kecemerlangan dalam pendidikan seperti Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh, Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) atau Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS) di Taiping.

“Perak sebagai sebuah negeri dengan pencapaian akademik yang tinggi sudah pasti akan cuba mengekalkan kedudukannya selain usaha kerajaan dalam pemerkasaan TVET dan kecerdasan buatan (AI) mampu mencambah lebih ramai tenaga manusia berilmu dan berakhlak tinggi,” katanya lagi.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *