Pengunduran Maximus Strategi Politik PBS Cuba Kekal Relevan Di Sabah

Keputusan Maximus berundur daripada jawatan presiden dilihat sebagai satu langkah PBS untuk kekal relevan dalam politik di Sabah menjelang PRN17 tahun depan. Foto Arkib
KOTA KINABALU, 2 Jun – Pengunduran bekas Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili kepada pemangkunya yang juga timbalannya Dr Joachim Gunsalam pada Sabtu disifatkan sebagai satu bentuk strategi parti itu memasuki pilihan raya negeri tahun depan.
Selain mengalami masalah kesihatan, bekas ahli parlimen Kota Marudu itu sememangnya sudah terlalu lama bergelumang dalam politik di negeri ini apatah lagi tewas kepada Datuk Wetrom Bahanda daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dengan majoriti 8,174 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Maximus yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya mendapat 16,144 undi berbanding Wetrom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau yang mendapat 24,318 undi.
Beliau yang menyandang kerusi Parlimen Kota Marudu sejak 1995 adalah satu-satunya presiden parti yang bertanding pada PRU15 di Sabah tewas di kerusi yang ditandingi.
Tiga lagi presiden parti iaitu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau dan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masing-masing berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Keningau, Tuaran dan Semporna.

Terdahulu majlis penyerahan tugas itu diadakan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PBS di ibu pejabat parti berkenaan di Donggongon, Penampang.
Berikutan itu, Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah akan memangku jawatan Presiden PBS berkuat kuasa serta-merta.
Maximus yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak) memegang jawatan itu selama enam tahun selepas mengambil alih tugas daripada pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada 2018.

Sementara itu, Maximus dalam mesejnya yang dibacakan Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki, berkata peralihan kepemimpinan PBS perlu demi kebaikan parti.
Penganalisis politik melihat kemampuan Maximus sama terhad dengan Madius yang juga menyerahkan jawatan nombor satu UPKO kepada Ewon Benedick yang kini menjadi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Beberapa strategi berbentuk taktikal dipercayai sedang dilakukan parti-parti lain termasuk Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang menukar pengerusinya baru-baru ini untuk kekal dilihat relevan menuju PRN17.

PBS antara parti terkuat dalam GRS kini sedang menumpukan persediaan pilihan raya dan keputusan Maximus dilihat satu bentuk strategi untuk kekal relevan sama seperti Gagasan Rakyat atau STAR.
Namun persoalannya, adakah PBS masih relevan di mata rakyat Sabah dengan perubahan tampuk kepimpinan parti itu ditambah lagi dengan isu ‘perebutan kerusi’ dalam parti-parti komponen GRS?
Dan apakah bentuk kerjasama PBS dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) terutamanya KEADILAN yang hanya memuktamadkan pendirian pada Ogos nanti?
Segala persoalan ini hanya akan terjawab apabila GRS diketuai Datuk Seri Hajiji Noor pula membuat keputusan dalaman untuk meneruskan kerjasama dengan PH atau tidak atau mencari gabungan baharu bagi meneruskan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri kelak.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

