Op Tiris: Seleweng 800 Liter Diesel, KPDN Miri Sita Gudang Di Senadin

Pemeriksaan pihak berkuasa di sebuah gudang di Senadin kerana disyaki menyeleweng minyak diesel bersubsidi pada 26 Mac 2926. Foto KPDN Miri
MIRI, 27 Mac – Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Miri menyita sebuah gudang di Senadin dekat sini yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan barang kawalan, iaitu minyak diesel dalam operasi petang semalam.
Kes berkenaan dikesan hasil operasi oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak sebelum dirujuk kepada KPDN Cawangan Miri untuk tindakan lanjut.

KPDN Miri dalam kenyataan medianya memberitahu, pemeriksaan awal mendapati premis terbabit gagal mengemukakan sebarang permit atau kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia berhubung pemilikan kira-kira 800 liter minyak diesel yang disyaki diseleweng.
“Sehubungan itu, satu tindakan kes menerusi Ops Tiris 4.0 telah dihasilkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berniaga secara borong atau runcit Barang Kawalan tanpa lesen,” jelas kenyataan itu.
Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Bagi syarikat pula, denda maksimum adalah RM2 juta dan boleh meningkat sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

Dalam pada itu, KPDN Cawangan Miri mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi yang disediakan oleh kementerian.
KPDN Cawangan Miri mengalu-alukan aduan awam dan menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan, antaranya melalui WhatsApp di talian 019-8488000, portal e-Aduan KPDN ([e-aduan.kpdn.gov.my](e-mel kepada e-aduan@kpdn.gov.my)), Call Centre 1-800-886-800 serta aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
Oleh Steve Annuar
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

