Penyelarasan Subsidi BUDI95 Lindungi Majoriti Rakyat – Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kerajaan MADANI mengambil pendirian jelas bahawa rakyat mesti dilindungi dengan meneruskan pemberian subsidi BUDI95 dengan penyelarasan sementara pada 27 Mac 2026.
KUALA LUMPUR, 27 Mac – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, Kerajaan MADANI mengambil pendirian jelas bahawa rakyat mesti dilindungi dengan meneruskan pemberian subsidi BUDI95 dengan penyelarasan sementara walaupun dunia sedang berdepan tekanan bekalan bahan api global yang semakin mencabar.
Menerusi hantaran di media sosial hari ini, beliau berkata, majoriti rakyat tidak akan terkesan dengan penyelarasan kuota RON95 apabila sekitar 90 peratus pengguna di negara ini, hanya menggunakan kira-kira 100 liter bahan api itu setiap bulan.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu berkata, ia bermakna kehidupan harian majoriti besar rakyat iaitu sembilan daripada 10 orang, akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang kos tambahan.
Saifuddin berkata, langkah penyelarasan had kelayakan kuota BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, yang bermula 1 April ini, hanyalah bersifat SEMENTARA sehingga keadaan dunia kembali stabil.
Katanya, pemandu e-hailing juga tidak perlu risau kerana kuota mereka dikekalkan pada 800 liter sebulan demi kelangsungan punca rezeki mereka.
Beliau berkata, walaupun langkah penyelarasan sementara had kelayakan kuota BUDI95 itu diambil, majoriti rakyat sebenarnya tidak terkesan sama sekali.
Menurut beliau, bil subsidi bahan api negara yang meningkat enam kali ganda dari RM700 juta kepada RM4 bilion setiap bulan susulan konflik di Asia Barat menyebabkan kerajaan terpaksa menyeimbangkan perkara itu menerusi penyelarasan sementara kuota BUDI95.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan melakukan ikhtiar terbaik dengan menyerap kenaikan harga dunia supaya kos sara hidup rakyat tidak terjejas secara drastik.
Jelasnya, ketika negara lain melepaskan beban kepada rakyat, Kerajaan MADANI memilih untuk terus menjadi perisai rakyat kerana memahami betapa peritnya jika beban itu dilepaskan ke bahu mereka.
“Di Hong Kong, harga petrol mencecah sekitar RM14 seliter. Di Singapura pula, sekitar RM10 seliter. Inilah realiti yang sedang dihadapi dunia hari ini.
“Namun di Malaysia, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengambil pendirian yang jelas: RAKYAT MESTI DILINDUNGI,” jelasnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web




