Ops Tiris: KPDN Digesa Bertindak Tegas Pihak Salah Guna Fleet Card Seleweng Subsidi Minyak

Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim, menunjukkan pam mini daripada sebuah van buruk pada sidang akhbar di Stor KPDN di Tunjang, Jitra pada 27 Mac 2026. Foto PDRM Jitra

JITRA, 27 Mac – Pihak berkuasa terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) digesa bertindak tegas ke atas mana-mana individu mahupun syarikat yang menyalahgunakan ‘fleet card’ milik beberapa syarikat bagi menjalankan kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi menerusi penggunaan ‘fleet card’ (kad armada).

Selain menempatkan pegawai penguat kuasa di lokasi strategik seperti pusat pemeriksaan imigresen, pihak berkuasa juga diminta menggerakkan agensi bersepadu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Dan Pemeriksaan Sempadan (AKPS) dan lain-lain bagi membanteras kegiatan merugikan rakyat dan negara.

Menurut pemerhati, Mohd Azizan Jusoh, ekoran peningkatan harga dan kekurangan bekalan di negara itu kini, jumlah kes penyeludupan dan penyelewengan dijangka terus meningkat berikutan perbezaan harga menguntungkan sindiket penyeludupan hingga mampu mencecah ribuan ringgit sekali ‘trip’ dengan menyalahgunakan subsidi ‘fleet card’.

“Saya melihat langkah pihak berkuasa sudah baik namun KPDN juga mesti meneliti rekod penjualan dan pembelian berulang yang dilihat mencurigakan selain membatalkan kelayakan mana-mana pihak yang didapati menyeleweng serta-merta sebelum didakwa di mahkamah.

Kehabisan bahan api seperti petrol dan diesel di Thailand amat meruncing sejak awal Mac 2026 memaksa banyak stesen minyak menutup operasi atau menghadkan pembelian bahan api kepada rakyat negara itu.

“Selain itu, saya mengesyorkan agar pihak mahkamah menjatuhkan hukuman paling maksimum ke atas penyeludup, ejen mengatur pembelian serta syarikat terbabit bagi menjadi pengajaran kepada masyarakat,” katanya.

Laporan terbaharu menyebut, sindeket tertentu dikesan semakin licik menyeleweng dan menyeludup bahan api bersubsidi berikutan masalah bekalan minyak di Thailand yang sangat meruncing ketika ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, bagi mengekang cubaan itu, pihaknya melakukan pemantauan rapi ke atas stesen minyak, pemeriksaan kenderaan disyaki serta risikan terhadap sindiket penyeludupan.

hasil pemantauan Op Tiris di sebuah stesen minyak di Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 10 pagi kelmarin, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 32 tahun bersama sebuah lori jenis Isuzu.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek mengisi minyak di stesen tersebut menggunakan kad subsidi dan telah mengisi sebanyak 250 liter diesel ke dalam tangki tambahan yang disembunyikan di bawah timbunan kayu palet.

“Soal siasat ke atas suspek membawa kepada satu stor di Kampung Padang Satu dan menemui 2,000 liter diesel lagi yang juga disyaki minyak subsidi,” kata pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, suspek disyaki menggunakan kira-kira tiga fleet card sebelum ‘mengatur’ stesen minyak sehingga tangki minyak tambahan yang boleh memuatkan sehingga 2,000 liter minyak itu penuh.

“Ini antara modus operandi yang dilakukan sindiket bagi mengaut keuntungan di mana sekarang minyak diesel tanpa subsidi adalah berharga lebih RM5 (RM5.52), manakala minyak bersubsidi dengan fleet card lebih RM2 (RM2.15).

“Jadi dia untung kira-kira sekali ganda dengan menjual minyak itu. Kita mengesyaki diesel yang dikumpul akan dihimpunkan di stor berkenaan sebelum dijual kepada kenderaan dari negara jiran,” jelasnya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *