Op Taring Gelora: PPM Zon 4 Rampas 17 Ribu Liter Diesel

PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan untuk komited membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan yang memberi kesan kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat pada 17 Mac 2026.
KOTA KINABALU, 17 Mac – Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah memperhebat Op Taring Gelora Aidilfitri dengan menggempur kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi satu serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Jalan Bunga Raya, pada Isnin.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan kira-kira jam 8 malam itu dijalankan hasil maklumat orang awam berhubung aktiviti mencurigakan di lokasi berkenaan.
“Hasil risikan membawa kepada penemuan kegiatan penyelewengan minyak diesel yang dipercayai aktif dijalankan di kawasan terbabit.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mendapati beberapa kenderaan berada di dalam premis dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dijalankan.
“Pemeriksaan awal membawa kepada penahanan tiga lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat secara langsung dalam kegiatan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati modus operandi digunakan melibatkan pengubahsuaian kenderaan dengan pemasangan tangki simpanan tambahan bagi menyimpan dan memindahkan minyak diesel secara haram.
“Sebanyak lima kenderaan didapati diubah suai untuk tujuan itu.
“Selain itu, pasukan turut menemukan sebuah tangki simpanan minyak jenis skid tank yang mengandungi kira-kira 16,000 liter diesel.
“Secara keseluruhan, sebanyak 17,850 liter minyak diesel dirampas dengan nilai dianggarkan RM76,755,” katanya.
Beliau berkata, turut dirampas lima kenderaan yang diubah suai serta sebuah tangki simpanan minyak.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM325,205 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan untuk komited membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan yang memberi kesan kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Orang awam diminta agar terus menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan seumpama,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



