Banteras Penyeludupan Diesel, Pembahagian Tugas Agensi Diperkemas – Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada 17 Mac 2026.

PUTRAJAYA, 17 Mac – Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, pembahagian tugas antara agensi penguatkuasaan terus diperkemas dari semasa ke semasa bagi meningkatkan keberkesanan operasi mencegah penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak, susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, di bawah penyelarasan baharu itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguruskan penguatkuasaan di bahagian darat.

Sementara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pula bertanggungjawab menyelaras operasi di kawasan perairan atau laut serta di sungai.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada 17 Mac 2026.

Menurut Fahmi, kawasan sempadan pula sedang diperincikan dengan cadangan untuk diselia oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

“Mesyuarat Jemaah Menteri juga telah diberi sedikit maklum balas mengenai mesyuarat yang diadakan oleh jawatankuasa penguatkuasaan, terutama dalam usaha menangani masalah penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak.

“Antara yang telah diberi penegasan adalah mekanisme Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang mungkin perlu diteliti dengan lebih rapi, sama ada diteruskan dengan mekanisme sedia ada ataupun dirangka satu mekanisme yang berbeza,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara isu yang turut dibangkitkan termasuk lah penyalahgunaan, penyelewengan serta penjualan diesel yang mungkin berlaku dengan isu tersebut sedang ditangani oleh jawatankuasa berkenaan.

Lonjakan harga diesel susulan konflik di Asia Barat menyebabkan kegiatan penyeludupan bahan api seperti diesel dan petrol bersubsidi meningkat ketara dan semua agensi berkaitan menggerakkan operasi membanteras gejala berkenaan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *