Op Lusuh: Tiga Lelaki Dicekup Disyaki Curi Kabel

Tiga suspek yang ditangkap polis menunjukkan sisa-sisa kabel yang telah dipotong di Bintulu.

BINTULU, 1 Jun – Tiga lelaki tempatan dicekup dalam Op Lusuh yang dilancarkan susulan laporan berkenaan kejadian kecurian kabel di sebuah stesen pencawang, di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali berkata, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 35 tahun ditangkap oleh Pasukan Task Force Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dalam tempoh 24 jam di sebuah rumah tidak bernombor di bahagian ini pada jam 9.30 pagi selepas polis menerima laporan berhubung kecurian itu sekitar jam 3.58 pagi hari yang sama.

Katanya, hasil soal siasat terhadap kesemua suspek telah membawa kepada penemuan beberapa sisa lebihan potongan logam, kulit kabel yang telah dikupas dan ditinggalkan oleh suspek di kawasan semak berhampiran.

“Sisa terbabit seterusnya dirampas oleh pihak polis untuk siasatan termasuk sebuah motosikal dipercayai telah digunakan suspek semasa kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan media, malam Jumaat.

Beliau berkata, kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan ditahan reman bagi membantu siasatan serta akan menjalani ujian saringan air kencing dalam masa terdekat.

Tiga suspek yang ditangkap polis menunjukkan sisa-sisa kabel yang telah dipotong di Bintulu.

“Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua atau yang seterusnya juga boleh dihukum penjara, denda dan sebat,” katanya.

Tegasnya, tangkapan ini merupakan usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengekang kegiatan jenayah melibatkan kecurian kabel pencawang yang terus berleluasa di daerah Bintulu.

Nixon menegaskan pihak polis tidak berkompromi serta akan mengambil tindakan ke atas individu atau mana-mana pihak yang terlibat terutamanya peniaga-peniaga kedai barang lusuh (kedai besi buruk) sekiranya melakukan kesalahan.

Justeru katanya, peniaga besi buruk perlu terus mematuhi syarat lesen yang ditetapkan dan tidak sewenang-wenangnya menerima barangan curi atau yang mencurigakan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian kecurian kabel telekomunikasi atau kabel sambungan alat-alat elektrik boleh menyalurkan maklumat kepada Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *