Empat Ekor Gajah Mati Disyaki Diracun

Empat ekor gajah ditemui maut disyaki diracun di kawasan Kahang, Kluang, Johor. Foto Hiasan

KLUANG, 1 Jun – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan melakukan bedah siasat terhadap bangkai empat gajah yang dipercayai mati diracun dalam kejadian di Kampung Sri Timor dekat Kahang, di sini.

Pengarah PERHILITAN Johor, Aminuddin Amin, berkata bedah siasat itu penting bagi menyiasat punca kematian empat gajah berkenaan.

Katanya, pihaknya juga sedang memantau di kawasan kebun di kampung itu bagi memastikan bangkai gajah itu tidak diganggu atau dialihkan.

“PERHILITAN Johor masih buat siasatan dan akan adakan bedah siasat terhadap empat bangkai gajah berkenaan hari ini.

“Keputusan bedah siasat termasuk ujian kimia dijangka mengambil masa dua hingga tiga minggu.

“Namun, setakat ini, kami tidak dapat mengesahkan empat gaji ini mati akibat diracun.

“PERHILITAN Johor ingin menasihatkan orang ramai jangan mengambil tindakan sendiri. Ini kerana gajah boleh mengamuk dan naik minyak jika termakan benda memudaratkan mereka dan ia sangat berbahaya kepada penduduk sekitar,” katanya ketika dihubungi.

Empat ekor gajah ditemui maut disyaki diracun di kawasan Kahang, Kluang, Johor. Foto Hiasan

Terdahulu, video berdurasi 1 minit 33 saat yang memaparkan bangkai empat gajah berkenaan yang didakwa mati akibat diracun, tular di media sosial sehingga menyebabkan kemarahan ramai.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Lee Ting Han, turut meninjau lokasi penemuan empat bangkai gajah itu pagi tadi.

Ting Han yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor berkata, melahirkan kesedihannya berikutan empat gajah itu dipercayai mati diracun.

“Orang ramai diminta tidak ambil undang-undang di tangan sendiri.

“Lapor kepada PERHILITAN, PDRM atau ketua kampung sekiranya berhadapan masalah konflik dengan gajah bagi membolehkan pihak berkuasa ambil tindakan lanjut.

“Jabatan Veterinar juga sedang melakukan bedah siasat dan jika terbukti benar empat gajah itu mati diracun, PDRM sudah tentu akan mengambil tindakan susulan,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *