Mohon Bantu Kesan Nur Humairah Yang Hilang Sejak Jumaat

Nur Humaira Syafiqah Naldi dilaporkan hilang sejak Jumaat menyebabkan keluarganya risau akan keselamatannya.
TAWAU, 26 Ogos – Seorang individu, Ayu Naldi, 39, yang masih gagal mengesan adik bongsunya itu sejak Jumaat lalu walaupun pelbagai ikhtiar sudah dilakukan, berharap semua pihak mempermudahkan urusan pencarian adiknya itu.
“Mohon jasa baik semua untuk membantu mengesan keberadaan adik saya, Nur Humaira Syafiqah Naldi, 15, kerana keluarga amat risau akan keadaannya,” jelas Ayu.
Ayu berkata, adiknya yang mesra dipanggil sebagai ‘Maira’ itu tinggal bersama beliau di Kampung Tanjung Batu Keramat, Jalan Utara, dekat sini, tidak pulang selepas keluar rumah untuk ke sekolah pada hari kejadian.

“Sebelum itu, dia ada memaklumkan akan pulang lewat pada hari berkenaan, namun tidak muncul-muncul hingga lewat petang menyebabkan kami sekeluarga bimbang.
“Saya ada menghubungi salah seorang rakan sekolah adik yang memuat naik gambar mereka beramai-ramai dalam Facebook pada petang Jumaat lalu, namun kelibat Maira tiada dalam gambar itu.
“Rakan Maira itu kemudian memaklumkan bahawa adik tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Ayu berkata, mereka sekeluarga tidak mempunyai perselisihan faham, namun sering menasihati adiknya itu bahawa dia masih bersekolah dan ada tanggungjawab perlu dilaksanakan.
Berikutan bimbang akan keselamatan Nur Humaira Syafiqah, pihak keluarga membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 2.51 petang semalam berhubung kehilangannya.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat atau ada melihat adiknya, diminta menghubungi Ayu melalui talian +60149144654 atau +60149144653 (abang).
“Kami juga berharap dengan ‘kuasa tular’ ini dapat membantu menemukan Maira secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat bapa Nur Humaira Syafiqah berhubung kehilangan remaja terbabit.
“Usaha mengesan remaja itu sedang giat dilakukan dan setakat ini, siasatan dijalankan sebagai kes orang hilang,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

