21 Maut Serangan Dron Sasar Pemberontak Di Utara Mali

Serangan udara ke atas sasaran pemberontak di sekitar Tinzaouaten sejurus selepas puak Tuareg dan pejuang lain membunuh sejumlah besar askar Mali. Foto Reuters

BAMAKO, 26 Ogos – Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh termasuk 11 kanak-kanak, akibat serangan dron di bandar Tinzaouaten, utara Mali, semalam.

Mali melakukan serangan udara ke atas sasaran pemberontak di sekitar Tinzaouaten sejurus selepas puak Tuareg dan pejuang lain membunuh sejumlah besar askar Mali dan tentera upahan Wagner Russia berhampiran bandar itu, Julai lalu.

Tinzaouaten yang terletak berhampiran sempadan Algeria, diserang dron sekali lagi, semalam.

Perkara itu dimaklumkan jurucakap pakatan pemberontak yang dikenali sebagai Rangka Kerja Strategik untuk Pertahanan Rakyat Azawad (CSP-DPA) dalam satu kenyataan.

Serangan itu menyasarkan sebuah farmasi dan tapak perhimpunan orang ramai yang menyebabkan kematian 21 orang awam, termasuk 11 kanak-kanak dan pengurus farmasi.

CSP-DPA menyalahkan tentera Mali serta tentera upahan Wagner dan berkata negara jiran, Burkina Faso mengendalikan dron berkenaan.

Tentera Mali, Kementerian Pertahanan Russia dan kerajaan tentera Burkina Faso bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen.

Pertempuran berhampiran Tinzaouaten pada akhir Julai lalu, adalah kekalahan paling teruk Wagner sejak ia melangkah masuk dua tahun lalu untuk membantu junta Mali memerangi kumpulan pemberontak.

Pemberontak Tuareg berkata mereka membunuh sekurang-kurangnya 84 tentera upahan Wagner dan 47 tentera Mali.

Ahli gabungan Al Qaeda berkata ia membunuh 50 tentera upahan Wagner dan 10 tentera Mali.

Kedua-dua pihak tidak menyatakan berapa ramai tentera mereka yang tewas, walaupun Wagner berkata ia mengalami kerugian besar.

Kekecewaan terhadap kegagalan pihak berkuasa memulihkan keselamatan menyumbang kepada rampasan kuasa di Mali, Burkina Faso dan Niger sejak 2020.

Junta kemudiannya memutuskan hubungan dengan sekutu Barat dan serantau, sebaliknya beralih kepada Russia.

Puak pemisah menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Mali pada 2015 tetapi CSP-DPA menarik diri daripada rundingan pada 2022. – REUTERS


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *