MB Negeri Sembilan Gesa Kemahiran Kulinari Cef Ditingkatkan

SEREMBAN, 3 Jul – Selain pemilihan dan penyediaan bahan-bahan yang segar dan bermutu yang menjadikan sesuatu masakan menjadi bualan ramai, aspek kemahiran memasak yang dimiliki para cef juga wajar dipertingkatkan.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun, beliau menganggap kemahiran dan strategi masing-masing dalam industri katering dan saling mempelajari dalam menimba lebih ilmu sama pentingnya dengan kemahiran kulinari serta pengalaman yang dimiliki mereka.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan kejohanan Masakan Global Cullinary Challenge Malaysia (GCCM) Kali Ke-2 pada pagi Ahad.

“Acara ini turut membolehkan cef-cef dari seluruh dunia saling bertukar dan berkongsi kemahiran kulinari dan strategi masing-masing di industri katering dan saling mempelajari dan menimba lebih ilmu,” katanya.

Kejohanan yang diadakan di NSK Trade City Seremban 2, dekat sini, berjaya menghimpunkan ratusan cef dari pelbagai kaum dan mempunyai kemahiran memasak bertaraf dunia.

Turut hadir, EXCO Kerajaan Negeri yang juga ADUN Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon serta Pengerusi Kejohanan GCCM yang diiktiraf oleh World Association of Chefs Societies (WACS).

Beliau mengharapkan agar pertandingan kulinari seperti ini boleh diadakan di berbagai daerah di Negeri Sembilan yang terkenal dengan pelbagai masakan memikat selera seperti daging salai yang boleh ditingkatkan mutu serta kualiti masakan dari semasa ke semasa.

“Besarlah harapan saya agar pertandingan kulinari seperti ini boleh diadakan di berbagai daerah di Negeri Sembilan.
“Sudah pasti kejohanan seperti ini dapat mendorong dan menarik lebih ramai industri katering kecil untuk bergabung dan meningkat serta mempromosi industri katering dan industri pelancongan di Negeri Sembilan dengan lebih baik,” tambahnya dalam catatan di Instagram rasmi beliau pada Ahad.

“Semoga kejohanan ini dapat menarik minat lebih ramai cef bertaraf antarabangsa untuk datang ke Negeri Sembilan dan seterusnya merancakkan ekonomi setempat, Insya-Allah,” ujarnya.
Aminuddin yang juga ADUN Sikamat turut sudi menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam kejohanan yang diadakan bermula Sabtu yang menerima sambutan menggalakkan daripada peserta ternama dalam dunia kulinari.
Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:
Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun
Twitter: https://twitter.com/MenteriBesarNS
Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun
Foto: Instagram rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan
