Peniaga, Penjaja Makanan Wajar Diwujud Mekanisma Pembelian Minyak Masak Subsidi – Calon MPP KEADILAN

KOTA KINABALU, 3 Jul – Kerajaan disaran memberi subsidi minyak masak bersasar kepada penjaja kecil, peniaga kedai makan dan restoran bagi menangani masalah kenaikan berterusan harga makanan dan bukan hanya menamatkan subsidi terhadap minyak masak dalam botol yang memberi kesan negatif kepada rakyat.

Bagi Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Zaidi Ahmad, beliau berpandangan satu mekanisma penjualan secara terkawal wajar difikirkan kerajaan susulan peniaga terpaksa membeli minyak masak botol lima kilogram (kg) yang tinggi kosnya menyebabkan peniaga tiada pilihan selain menaikkan harga makanan.

Secara purata, harga minyak masak berbotol naik antara 30 hingga 40 peratus di pasaran susulan langkah kerajaan menamatkan subsidi bermula 1 Julai lalu.

Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Pahang mendapati walaupun kurang memahami niat sebenar kerajaan menghapuskan subsidi bagi minyak botol dua hingga lima kg kononnya bagi mengurangkan aktiviti penyeludupan dan penyelewengan subsidi, namun akhirnya ia memberi kesan negatif kepada rakyat dan peniaga kecil yang bergantung kepada minyak masak bersubsidi.


“Adalah lebih baik sekiranya kerajaan menetapkan harga munasabah atau buat satu mekanisma penetapan pembelian minyak untuk kumpulan sasar ini (penjaja dan peniaga), iaitu harga yang lebih rendah berbanding sekarang dengan syarat peniaga mempunyai lesen sah.

“Selain itu satu sistem untuk pembelian atau penebusan dengan pemantauan atau kawalan oleh agensi kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu diwujudkan dan dibantu persatuan penjaja. Ini bermaksud ada pembekal sah selain tempat atau platform khas pembelian bagi golongan ini,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya langkah itu dilaksanakan, beban kos tinggi ditanggung peniaga dan penjaja bagi membeli minyak masak akan berkurangan seterusnya dapat menurunkan harga makanan di gerai atau restoran mereka.

“Saya berharap kalau ada mana-mana peniaga yang ambil kesempatan jual makanan dengan mahal dan tidak masuk akal, tindakan denda wajar dikenakan kepada mereka,” katanya.

Pun begitu, beliau tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan memansuhkan terus pemberian subsidi terhadap minyak masak berbotol kerana ia akan memberi impak kepada kuasa beli rakyat yang semakin teruk.

“Kesemua pihak berkepentingan perlu dilindungi bagi memastikan tiada pihak yang teraniaya akibat dasar kerajaan yang tidak memikirkan perit rakyat menangani isu kos sara hidup,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *