Maritim Malaysia Tahan Bot Tunda Gagal Maklum Tukar Nama Nakhoda

Maritim Malaysia menahan bot dikendalikan oleh sembilan kru termasuk nakhoda warganegara Indonesia berumur dalam lingkungan 24 hingga 47 tahun. Foto Maritim Malaysia
BINTULU, 7 Sep – Ekoran gagal memaklumkan secara bertulis kepada Pendaftar Kapal berhubung pertukaran nama nakhoda dalam sijil pendaftaran kapal, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot tunda berkenaan.
Bot tunda tersebut ditahan semasa pasukan Maritim Malaysia melakukan rutin rondaan di sekitar perairan Bintulu petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot tunda itu ditahan pada jam 2.45 petang di kedudukan 3.5 batu nautika barat Laut Kuala Kemena oleh pasukan rondaan Maritim Malaysia dalam OP TIRIS 3.0 dan OP PERMAI 01/2019.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan oleh sembilan kru termasuk nakhoda warganegara Indonesia berumur dalam lingkungan 24 hingga 47 tahun.
“Bot tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22(2A) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu gagal memaklumkan secara bertulis kepada Pendaftar Kapal berhubung pertukaran nama nakhoda dalam sijil pendaftaran kapal.
“Kesalahan itu memperuntukan hukuman kompaun sebanyak RM2,500,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Justeru katanya, bot berserta kru yang ditahan itu telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Tegasnya, Maritim Malaysia mengingatkan agar semua komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan atau undang-undang serta prosedur keselamatan di laut bagi mengelak serta mengurangkan risiko insiden yang tidak diingini berlaku.
Sebarang maklumat, aduan serta insiden kecemasan di laut katanya, ia boleh dilaporkan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) untuk maklum balas segera.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


