Mesyuarat Agung Bersatu Kecoh, Insiden Pergelutan Ketika Muhyiddin Berucap

Imej tangkap layar kekecohan yang berlaku semasa ucapan dasar Muhyiddin pada PAT Bersatu di Shah Alam pada 6 September 2025.
SHAH ALAM, 6 Sep – Suasana Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang awalnya tenang, tiba-tiba bertukar kecoh semasa Presiden Muhyiddin Yassin mengingatkan ahli untuk mengikut perlembagaan parti.
Terdapat ahli Bersatu kemudian bangkit melaungkan rasa tidak puas hati semasa ucapan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.
Keadaan bertukar tegang apabila ahli parti berkenaan cuba menimbulkan kekecohan, namun ditenangkan beberapa ahli parti lain.

Walaupun insiden itu hanya berlangsung beberapa minit, ia jelas mengganggu perjalanan ucapan dasar Presiden yang sedang menekankan isu ‘perpaduan dalaman’ dan masa depan Bersatu dalam PN.
Muhyiddin bagaimanapun meneruskan ucapannya selepas keadaan kembali terkawal namun tetamu di kalangan pemimpin pembangkang yang hadir menyaksikan sendiri ‘drama’ dalam parti yang semakin hilang punca dan arah tuju itu.
Muhyiddin yang sedang berucap pada himpunan itu meminta semua ahli kembali duduk dan bertenang.

Dalam keadaan kecoh itu juga terdapat beberapa ahli melaungkan slogan ‘hidup Tan Sri’ tanda sokongan kepada Muhyiddin.
Sehingga laporan ini ditulis, pihak mana yang mencetuskan kekecohan berkenaan belum dapat dikenal pasti.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
