Maritim Malaysia Patahkan Cubaan Seludup Tujuh Tan Minyak Sawit

Maritim Malaysia merampas bot dan minyak sawit berkenaan untuk tindakan lanjut pada 16 Mac 2026. Foto Maritim Malaysia

SANDAKAN, 16 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup kira-kira tujuh tan minyak sawit mentah apabila bot yang digunakan ditahan dalam operasi di perairan Sandakan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 0.5 batu nautika barat laut Ulu Sibuga itu, beberapa individu dipercayai berada di atas bot berkenaan bertindak melarikan diri ke kawasan hutan bakau selepas menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika anggota Maritim Malaysia melaksanakan Op Khas Pagar Laut 1/2026.

Katanya, bot peronda yang menjalankan pemantauan risikan kemudian menahan bot terbabit untuk pemeriksaan lanjut.

“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, beberapa individu di lokasi melarikan diri ke kawasan hutan bakau dan meninggalkan bot berkenaan

“Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit membawa kira-kira tujuh tan minyak sawit mentah disyaki tanpa permit atau kebenaran sah daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) kerana gagal mempamerkan Ikrar Pergerakan Domestik (MPOB).

“Kes turut disiasat mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 serta Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga (Kapal Kecil Berlesen Sabah) 2008 kerana gagal mempamerkan lesen, tidak mempamerkan nombor pendaftaran dan membawa muatan minyak sawit mentah tanpa kebenaran Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

“Bot bersama muatan yang dianggarkan bernilai RM75,000 itu kemudian diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia dengan kerjasama MPOB,” katanya.

Muhamad Suhairy berkata, Maritim Malaysia akan terus memperketatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara.

“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *