Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 Tingkat Ketelusan, Keadilan Kepada Pengguna – MPPN

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bagi merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Suria Sabah, Kota Kinabalu pada 15 Mac 2026. Foto PMO

PUTRAJAYA, 16 Mac – Pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026, yang disifatkan sebagai satu reformasi besar bagi memperkukuh perlindungan pengguna dalam sektor kredit di Malaysia, disokong Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN).

Menerusi satu kenyataan sempena Hari Pengguna Kebangsaan 2026, Pengerusi MPPN Mohd Khair Ngadiron berkata, pindaan yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, merupakan satu langkah penting ke arah meningkatkan ketelusan dan keadilan kepada pengguna.

“Pindaan ini merupakan satu reformasi signifikan yang akan memberi manfaat kepada pengguna, khususnya melalui pemansuhan sistem kadar faedah tetap sama rata (flat interest rate) dan Rule of 78, yang akan digantikan dengan Kadar Faedah Efektif (Effective Interest Rate) serta Kaedah Pengurangan Baki (Reducing Balance Method),” katanya.

Pengerusi MPPN, Mohd Khair Ngadon menggesa pengguna supaya lebih peka terhadap hak mereka serta membuat keputusan perbelanjaan secara berhemah dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Beliau menambah bahawa pendekatan baharu itu akan memastikan pengiraan faedah lebih telus, adil dan mencerminkan baki pinjaman sebenar, khususnya bagi peminjam yang memilih untuk membuat penyelesaian awal pinjaman.

Mohd Khair turut mengalu-alukan usaha memodenkan urusan perjanjian sewa beli melalui penggunaan tandatangan digital dan tandatangan elektronik, sambil menyatakan bahawa langkah tersebut dijangka meningkatkan kecekapan proses selain mengurangkan risiko penipuan melalui pengesahan identiti peminjam yang lebih kukuh.

“Sekiranya keadaan industri mengizinkan, penguatkuasaan lebih awal akta ini wajar dipertimbangkan supaya pengguna dapat menikmati manfaat reformasi ini dengan lebih segera, khususnya dari segi ketelusan pengiraan faedah dan keadilan dalam penyelesaian awal pinjaman,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau mengakui bahawa tempoh peralihan telah diberikan kepada pemain industri bagi membolehkan mereka menyesuaikan sistem, dokumentasi serta proses operasi selaras dengan keperluan baharu yang diperkenalkan.

Mengulas perkembangan global, Mohd Khair berkata ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran berpotensi memberi kesan kepada harga komoditi global, rantaian bekalan serta kos sara hidup, yang akhirnya menjejaskan kesejahteraan pengguna.

“Dalam situasi ini, pemantauan harga secara berterusan serta amalan perniagaan yang beretika amat penting. Pengguna juga perlu menjadi lebih bijak, peka terhadap hak mereka serta berhemah dalam membuat keputusan perbelanjaan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bagi merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Suria Sabah, Kota Kinabalu pada 15 Mac 2026. Foto PMO

Selaras dengan tema Hari Pengguna Kebangsaan 2026, ‘Suara Kita, Kuasa Kita’, beliau menggesa pengguna supaya memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh budaya kepenggunaan yang bertanggungjawab dan beretika.

Mohd Khair menambah bahawa MPPN kekal komited untuk terus berperanan sebagai badan penasihat kepada kerajaan dalam memperkukuh dasar serta perundangan berkaitan kepenggunaan bagi memastikan hak dan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *