Liverpool Berdepan West Ham, United Tersingkir Lagi

Penjaga gol Bournemouth, Ionut Radu gagal menyelamatkan rembatan padu penyerang Liverpool, Darwin Nunez (tidak kelihatan) pada pusingan keempat Piala Liga Inggeris di Stadium Vitality, Bournemouth awal pagi tadi. Foto AFP

LONDON, 2 Nov – Juara sembilan kali Liverpool akan berdepan West Ham United di laman sendiri pada suku akhir Piala Liga Inggeris selepas The Reds menyingkirkan Bournemouth dan The Hammers membenam Arsenal pada pusingan 16 terakhir awal pagi tadi.

Undian suku akhir turut menemukan Newcastle, yang mengecewakan juara bertahan Manchester United, menentang Chelsea, manakala Everton bertarung dengan Fulham.

Satu tempat sudah pasti buat pasukan EFL pada separuh akhir apabila kelab Liga Satu (divisyen ketiga), Port Vale bertembung dengan kelab Liga Kejuaraan, Middlesbrough.

Sementara itu, seperti dijangka Manchester United tewas 3-0 di laman sendiri di tangan Newcastle United pada pusingan keempat Piala Liga Inggeris ketika permulaan buruk mereka musim ini berterusan awal pagi tadi.

Penjaga gol Bournemouth, Ionut Radu gagal menyelamatkan rembatan padu penyerang Liverpool, Darwin Nunez (tidak kelihatan) pada pusingan keempat Piala Liga Inggeris di Stadium Vitality, Bournemouth awal pagi tadi. Foto AFP

Pengurus Manchester United, Erik ten Hag kelihatan merah padam apabila pasukannya diejek ketika keluar padang dan pengendali dari Belanda itu semakin tertekan selepas kecundang 3-0 kepada Manchester City di Old Trafford Ahad lalu.

Dalam perlawanan ulangan final di Wembley tahun ini yang mana Manchester United menang 2-0, Newcastle mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi gol Miguel Almiron dan Lewis Hall sebelum mengukuhkan cengkaman mereka menerusi Joe Willock untuk mara ke suku akhir.

Newcastle mendahului apabila Almiron meledak masuk pada minit ke-28 selepas Tino Livramento memenangi bola dan mengumpan kepada pemain dari Paraguay itu yang berjaya mengatasi penjaga gol Andre Onana.

Pemain Newcastle United, Miguel Almiron (dua dari kiri) menewaskan penjaga gol Manchester United, Andre Onana bagi gol pertama pasukannya pada pusingan keempat Piala Liga Inggeris di Old Trafford, Manchester awal pagi tadi. Foto Reuters

Hall menggandakan kedudukan lapan minit kemudian, merembat voli ke penjuru gol selepas benteng pertahanan United gagal mengeluarkan bola dengan sempurna dan kekecewaan bertambah buat penyokong tuan rumah apabila Willock menokok gol ketiga selepas sejam.

Manchester United tewas lapan daripada 15 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan – pencapaian terburuk sejak tahun 1972.

Perlawanan suku akhir akan diadakan pada minggu 18 Disember depan. 

UNDIAN SUKU AKHIR:

Everton mln Fulham

Chelsea mln Newcastle United

Port Vale mln Middlesbrough

Liverpool mln West Ham United

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *