Lindungi Kesihatan Mental Remaja, Anak-Anak Kita Sebelum Terlambat

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merasmikan Kempen Internet Selamat (KIS) peringkat negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan (SK) Raub Indah pada 30 Oktober 2025. Foto Kementerian Komunikasi

PENDAPAT, 3 Nov – Had umur penggunaan media sosial kepada 16 tahun seperti yang disaran kerajaan mempunyai mekanisme tertentu bukan sekadar melindungi kesihatan mental malah juga fizikal kanak-kanak dan remaja yang turut dilanda kegemukan (obesiti) yang semakin meningkat.

Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang akan menjalankan kajian garis panduan bersesuaian disifatkan langkah tepat pada masanya lebih-lebih lagi beberapa insiden jenayah membabitkan golongan itu kebelakangan ini.

Pandangan tersebut dikongsi Pensyarah Psikologi Perkembangan, Pusat Penyelidikan Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Abdul Rahman Ahmad Badayai yang melihat keputusan berkenaan mencerminkan keseriusan kerajaan memastikan kanak-kanak tidak terdedah dengan unsur-unsur negatif yang boleh merosakkan minda mereka ketika membesar.

Dr. Abdul Rahman Ahmad Badayai dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Kerisauan masyarakat terhadap gejala menggunakan peranti untuk melayari media sosial di kalangan kanak-kanak memerlukan pendekatan pendidikan dan undang-undang demi memastikan mereka dilindungi serta wajar disokong segenap lapisan masyarakat.

“Kita harap kerangka dan garis panduan yang akan dikuatkuasakan boleh memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya ibu bapa yang menjadi pelindung utama kepada kesihatan mental, fizikal dan perkembangan tumbesaran anak masing-masing,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, kerajaan bersetuju secara dasar untuk menaikkan had umur pengguna media sosial kepada 16 tahun daripada cadangan 13 tahun sebelum ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merasmikan Kempen Internet Selamat (KIS) peringkat negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan (SK) Raub Indah pada 30 Oktober 2025. Foto Kementerian Komunikasi

Fahmi menjelaskan, Malaysia bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan sistem pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi melindungi golongan kanak-kanak serta memastikan garis panduan komuniti (community guidelines) benar-benar dikuat kuasa.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Norsayyidatina Che Rozubi berkata, keputusan itu amat penting kerana golongan remaja masih berada dalam proses perkembangan emosi serta kawalan diri yang belum matang sepenuhnya.

“Kajian menunjukkan pendedahan terlalu awal kepada media sosial boleh menyebabkan tekanan emosi, gangguan imej diri, ketagihan digital serta fenomena FOMO (fear of missing out) iaitu rasa cemas dan rendah diri apabila membandingkan diri dengan orang lain di media sosial.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merasmikan Kempen Internet Selamat (KIS) peringkat negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan (SK) Raub Indah pada 30 Oktober 2025. Foto Kementerian Komunikasi

“Justeru, langkah mengehadkan umur bukan sekadar bentuk sekatan, tetapi merupakan usaha pendidikan dan pencegahan awal untuk melahirkan generasi celik digital yang sihat, beretika dan berdaya tahan di dunia maya,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Tambah beliau, pemantauan berterusan oleh MCMC dan ibu bapa amat diperlukan bagi memastikan anak-anak didedahkan secara selamat dan berpandu.

“Pemantauan perlu berjalan seiring dengan pendidikan. Ibu bapa dan guru berperanan besar membentuk disiplin digital sejak awal agar remaja mampu mengawal diri dan menghormati batas pergaulan di alam siber,” katanya lagi.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *