Lelaki Tempatan Bersama 300 Liter Diesel Subsidi Tanpa Permit Dirampas

Suspek ditahan bersama 300 liter diesel bersubsidi tanpa permit sah dalam Op Tiris di Batu 3, Jalan Apas pada 2 Mei 2026. Foto IPD Tawau
TAWAU, 5 Mei – Tindakan seorang lelaki tempatan menyimpan dan membawa minyak diesel bersubsidi tanpa permit terbongkar apabila dia dicekup dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Batu 3, Jalan Apas, Tawau, pada 2 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin berkata, serbuan kira-kira jam 4.40 petang itu dijalankan sepasukan Task Force Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang diketuai oleh Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) DSP Sukvinderjeet Singh A/L Channan Singh hasil maklumat dan risikan.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek lelaki tempatan berusia 50 tahun itu gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit bagi memiliki kira-kira 300 liter minyak diesel bersubsidi,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui sebuah tangki minyak jenis fiber yang diubah suai dipercayai digunakan untuk menyimpan bahan api berkenaan.
“Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper, anak kunci kenderaan serta tangki yang diubah suai bagi tujuan penyimpanan diesel,” katanya.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM11,445 membabitkan kenderaan, minyak diesel dan peralatan.

“Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Mengulas lanjut, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan boleh menyalurkan maklumat kepada pihak polis termasuk melalui saluran Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membantu membanteras kegiatan ini,” katanya.
Sumber: Polis Daerah Tawau
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

