Warganet Berang Rempuhan Proton X70 Sebabkan Penunggang Motosikal Maut

Imej tangkap layar kamera papan pemuka kejadian kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Petaling Jaya pada 5 Mei 2026.

PETALING JAYA, 5 Mei – Lelaki tempatan berusia 70 tahun yang memandu sebuah Proton X70 kelabu yang melanggar seorang lelaki hingga maut dalam kemalangan di Jalan 17/21, di sini, petang tadi, disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Warganet yang berang dengan perilaku pemandu berkenaan menggesa pihak berkuasa bertindak tegas kerana insiden berkenaan amat membahayakan.

“Malaysia ni mmg semua jalanraya dianggap litar lumba?. Test top speed sana sini. Bawak serupa orang gila atau mabuk tapi takat saman 300 je untuk kelajuan sampai lebih 300kmh dimana² jalanraya Malaysia?. Sampai bila?,” tanya Esyam84.

Seorang lagi, William Lee menulis “Minta semua orang media bagilah tekanan kerajaan dan juga ahli-ahli parlimen. Jangan teruja dan jilat je bila jumpa mereka. Tekan mereka ubahlah rang undang-undang supaya penjenayah jalanraya dikena cukup cukup. Jangan setiap hari main hilang dan mengapi apikan isu 3R saja”.

Terdahulu, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku sekitar pukul 1.45 petang apabila sebuah Proton X70 berwarna kelabu dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.08 petang.

“Kenderaan tersebut kemudian melanggar sebuah motosikal yang ditunggang lelaki tempatan berusia 20-an.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

“Hasil ujian saringan awal air kencing dan alkohol ke atas pemandu berkenaan didapati negatif,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Sivam di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *