Komuniti MADANI SMART Kadok Beri Galakan Positif Kepada IKS

Seramai 50 peserta lelaki dan wanita menyertai Bengkel Pembuatan Sabun Industri yang dianjur Komuniti MADANI Smart Kadok dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JaPen) Kota Bharu pada 26 April lalu.

PENDAPAT, 30 Apr – Komuniti MADANI SMART Kadok mengambil inisiatif dengan melaksanakan Kelas Bengkel Pembuatan Sabun bagi membantu masyarakat sekitar Ketereh untuk melakukan perniagaan bermodal rendah dengan hanya diusahakan dari rumah.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik SpaKg bertujuan membantu golongan rentan dan miskin tegar untuk keluar daripada garis kemiskinan agar mereka dapat berusaha mengubah taraf kehidupan sosial mereka ke arah yang lebih baik.

Program yang telah dijalankan di Pusat Latihan Pertanian (PLP), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Melor pada 26 April lalu telah mengumpulkan 50 orang peserta terdiri daripada lelaki dan wanita pelbagai latar dan peringkat umur yang menyertai pembuatan kelas sabun gred industri.

Seramai 50 peserta lelaki dan wanita menyertai Bengkel Pembuatan Sabun Industri yang dianjur Komuniti MADANI Smart Kadok dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JaPen) Kota Bharu pada 26 April lalu.

Selain menerima penyertaan daripada sebilangan peserta daripada KADA, KEMAS dan NADI sekitar Ketereh, Komuniti MADANI SMART Kadok juga turut menerima penyertaan dalam kalangan anak muda yang sedang menjalani latihan industri di sekitar Ketereh.

Salah seorang pelajar latihan industri dikenali sebagai Aina berkata, “Saya mengetahui program ini daripada Smart Kadok, bengkel yang dianjurkan sangat memberi manfaat kepada para peserta kerana kos yang sangat rendah dan kita mampu buat sabun ini dari rumah.

“Dapat sabun industri berharga RM58, bahan mentah disediakan, kita cuma bayar RM13 sahaja. Untung sangat,” jelasnya.

Para peserta kursus pembuatan sabun industri dibimbing pakar dalam bidang berkenaan.

Program ini juga mendapat tajaan daripada Jabatan Penerangan (JaPen) Kota Bharu yang turut hadir memberi sokongan kepada belia dan beliawanis serta usahawan wanita agar dapat menghasilkan pendapatan dengan modal yang rendah menggunakan bahan mentah yang tersedia di dapur rumah.

Peserta dapat merasai sendiri pengalaman membuat sabun dengan beberapa langkah mudah dan pantas beserta formula lengkap.

“Tujuan saya hadir program ini adalah untuk meningkatkan produktiviti diri sendiri selain boleh berjimat dengan modal yang sangat minimum saya mampu menghasilkan sabun sendiri dari rumah,” ujar Rozana salah seorang peserta daripada KEMAS Kok Lanas.

Salah seorang peserta teruja mengikuti kursus pembuatan sabun industri yang diadakan di PLP KADA Melor yang diadakan pada 26 April lalu.

Mawarni, peserta dari Kadok turut melahirkan rasa teruja kerana dapat hadir ke bengkel anjuran Komuniti MADANI SMART Kadok.

“Saya rasa sangat berbaloi hadir kelas pada hari ini kerana yuran serendah RM13 sahaja dapat sertai kelas pembuatan sabun, kerana saya dimaklumkan yuran asal RM30, terima kasih kepada Komuniti MADANI dan Jabatan Penerangan kerana mengadakan kelas sebegini dan menaja peserta bengkel untuk kami peroleh manfaat. Dapat pula sabun percuma RM58,” ujarnya gembira.

Setakat 26 April lalu, sebanyak empat kali kelas pembuatan sabun diadakan sekitar Ketereh di bawah program SMART Kadok.

Rahimi L Muhamud menyampaikan cenderahati kepada para peserta kursus pembuatan sabun industri yang diadakan di PLP KADA Melor sebagai galakan menceburi industri yang boleh dimulakan dari rumah.

Peserta dapat mempelajari pembuatan pelbagai jenis sabun selain menyediakan sembilan jenis pembuatan produk termasuk sabun pencuci lantai, bedak muka, pewangi bilik air, losyen sebu perut dan pelbagai lagi.

Di akhir siri, para peserta dapat mempelajari juga pembuatan kopi tiga dalam satu sebagai inisiatif tambahan bagi menambah pendapatan.

Produk-produk terpilih ini mampu menggalakkan perkembangan ekonomi IKS serta dapat memberi peluang baru juga kepada golongan penganggur, suri rumah, anak muda dan yang telah bersara untuk merancakkan ekonomi mereka sambil boleh belajar cara memasarkan produk secara digital di NADI sekitar tempat tinggal masing-masing.

Program Jiwa Komuniti MADANI diilhamkam daripada inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan bagi memberdaya pelbagai aspek termasuk ekonomi buat manfaat penduduk setempat dengan pelbagai program yang disediakan.

Komuniti MADANI adalah salah satu badan sukarela pelbagai kaum dan latar di bawah JaPen dan diselia oleh Kementerian Komunikasi bertujuan untuk menjadi penggerak dalam komuniti bagi menyebarkan nilai-nilai murni, pemberdayaan sosial dan kenegaraan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Untuk kelas sabun selanjutnya sekitar Ketereh akan diadakan pada bulan Jun 2024 nanti dan orang ramai yang berminat boleh menghubungi KOMUNITI MADANI SMART Kadok di talian 011-11934371 untuk maklumat lanjut.

  • Oleh Nurul Ibrahim, Ketereh


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *