Ketengah Lumba Bot Laju Sungai Tarikan Berpotensi Pelancong Ke Sebauh – Jame Stephen

BINTULU, 25 Jul – Lumba bot laju di sungai-sungai di Sarawak mampu menjadi satu lagi tarikan pelancong yang boleh diketengahkan sebagai salah satu produk pelancongan berpotensi di daerah Sebauh, dalam parlimen Bintulu.

Menurut pemimpin terkenal di Bintulu, Jame Stephen, beliau tidak menolak perlumbaan yang diadakan setiap tahun sejak 2018 ini mampu melonjakkan nama Sebauh sebagai sebuah daerah penuh khususnya dan Bintulu amnya kepada dunia luar.

“Saya melihat perlumbaan bot laju sungai ini suatu tarikan unik dan tersendiri yang mampu menarik pelancong luar untuk datang ke Bintulu terutamanya Sebauh sebagai satu lagi destinasi wajib selain destinasi pelancongan lain di negeri ini,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyerahan hadiah kepada para pemenang kejohanan itu.


Kejohanan tersebut dianjurkan Kelab Sukan Bot Laju Power Booster Kemena dengan kerjasama Pejabat Daerah Sebauh yang menyelia perlumbaan berkenaan sempena Pesta Sukan Air Sebauh di Sungai Kemena selama dua hari yang berakhir pada Ahad.

Mengulas lanjut, Jame yang juga aktivis Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Bintulu turut menggesa pihak berwajib agar dapat lebih giat mempromosikan kejohanan berkenaan bagi tahun-tahun mendatang selain menyediakan kemudahan penginapan secukupnya bagi membantu peniaga tempatan menambah pendapatan selain membantu ekonomi setempat.

“Saya menggesa pihak kerajaan terutamanya Sarawak Tourism Board (STB) agar lebih giat mempromosi kejohanan ini selain pihak Majlis Daerah Sebauh dapat memastikan para pelancong mendapat pilihan penginapan sesuai dan secukupnya sepanjang kejohanan diadakan pada tahun-tahun mendatang,” jelas Jame lagi.


Beliau menambah, inilah masanya untuk rakyat memulihkan ekonomi tempatan ekoran penutupan semua sektor terutama ekonomi sejak dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Kejohanan berkenaan diungguli pasukan Wan Alana Bit 13, tempat kedua disandang oleh pasukan Imposter 73 sementara pasukan Jame iaitu ASF 37 berada pada kedudukan ketiga dalam kategori acara khas 30 HP dua omboh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *