Kes Zara: Peguam Wakili Lima Tertuduh Tak Dibenar Sertai Inkues

Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir semasa sidang media selepas prosiding permohonan semakan terhadap keputusan mahkamah menolak peguam mewakili lima remaja menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina pada 2 September 2025.
KOTA KINABALU, 2 Sep – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membatalkan keputusan koroner sebelum ini membenarkan peguam mewakili lima remaja, yang didakwa terbabit dalam kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir, menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian pelajar berkenaan.
Hakim Datuk Duncan Sikodol berkata permohonan itu bagaimanapun boleh dikemukakan semula di hadapan koroner baharu yang akan mengendalikan inkues bermula esok.
“Apa-apa perintah yang dibuat berhubung permohonan dalam inkues tersebut diketepikan. Pihak-pihak terbabit bebas untuk mengemukakan semula permohonan mereka di hadapan Koroner baharu,” katanya.

Beliau menjelaskan, koroner terdahulu tidak wajar membuat keputusan substantif kerana kemudiannya menarik diri atas alasan mempunyai kepentingan peribadi.
“Jika tidak, ia seolah-olah membuat keputusan bagi pihak koroner baharu dan menjejaskan prinsip ketidakberpihakan,” katanya.
Mahkamah turut menolak bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya (TPR) terhadap locus standi Persatuan Guaman Sabah (SLS) yang hanya hadir sebagai pemerhati.

Duncan berkata, Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi menyemak keputusan mahkamah bawahan, termasuk atas inisiatif sendiri, terutama melibatkan kepentingan awam.
Terdahulu, pasukan pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri, Nahra Dollah berhujah bahawa SLS tidak berhak memohon semakan kerana statusnya hanya pemerhati.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
