Pengurusan TikTok Dipanggil Kerana Lambat Bertindak – Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika sesi dialog selepas melancarkan Persidangan Al Grand Prix 2025 di Kuala Lumpur pada 2 September 2025. Foto IPPTAR
KUALA LUMPUR, 2 Sep – Pengurusan tertinggi TikTok akan dipanggil esok berikutan kebimbangan terhadap media sosial berkenaan yang didakwa lambat bertindak balas membantu pihak berkuasa dalam kes membabitkan penyebaran berita palsu, kata Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut Menteri Komunikasi itu, mesyuarat yang akan diadakan di Bukit Aman itu juga akan dihadiri oleh Ketua Polis Negara dan Peguam Negara.
Fahmi memetik kes baru-baru ini di mana seorang lelaki mengaku sebagai pakar bedah yang tular di pelantar media sosial itu namun lambat memberikan maklumat yang diperlukan pihak berkuasa bagi tujuan penyiasatan.

“TikTok sangat lambat dalam memberikan maklumat yang berkaitan kepada polis. Saya terpaksa menghubungi ketua pegawai eksekutif TikTok sendiri untuk memaklumkan mereka bahawa ini adalah jenayah dan organisasi mereka sangat perlahan.
“Kita tidak boleh ada sikap sebegitu,” katanya kepada pemberita hari ini selepas melancarkan Persidangan Al Grand Prix 2025.
Fahmi berkata Meta juga akan dipanggil tidak lama lagi kerana pihak berkuasa telah mengesan isu serius yang melibatkan platformnya, termasuk kandungan berkaitan pedofilia (jenayah terhadap kanak-kanak).

Beliau berkata kandungan seperti itu dikongsi di platform seperti WhatsApp dan Facebook.
“Tetapi platform ini nampaknya tidak mengambil serius isu sebegitu.
“Jadi dialog ini akan diteruskan dan kita akan menekankan bahawa undang-undang Malaysia terpakai kepada mereka dan mereka mesti patuhi. Kita akan memanggil setiap platform.”
Pada Jun, Fahmi berkata platform media sosial Facebook, TikTok dan YouTube telah memadam 159,518 kandungan berbahaya yang berkaitan perjudian dalam talian, penipuan, buli siber dan berita palsu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
