PDRM Hantar Pegawai Ke Thailand Siasat Kes Seludup M16 Ke Malaysia

Mohd. Khalid ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Diploma Kepolisan dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan di Maktab PDRM Kuala Kubu Baharu pada 2 September 2025. Foto PDRM
HULU SELANGOR, 2 Sep – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pegawai ke Thailand bagi mendapatkan maklumat berhubung penahanan seorang lelaki yang didakwa cuba menyeludup dua laras senjata jenis M16 ke negara ini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, individu tersebut masih ditahan dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat berhubung tangkapan terbabit daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang menemui beberapa senjata api dan peluru.

“Tahanan itu masih lagi di sana (Thailand) dan kita sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan yang mengatakan bahawa (senjata) ini akan dibawa ke Malaysia.
“Setakat ini, seorang individu ditahan dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana modus operandi dan organisasi suspek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Diploma Kepolisan dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) di Maktab PDRM Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Khalid berkata, pihaknya juga sedang menyiasat kenderaan dinaiki suspek yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran Malaysia.
“Di sempadan ini kadang-kadang keluar masuk itu perkara biasa terutama dalam kalangan ahli perniagaan dan pihak tertentu yang sentiasa berhubung antara dua negara.
“Namun, kita memang memperketatkan kawalan sempadan dan dari semasa ke semasa rondaan juga dijalankan,” jelasnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

