Kes Zara: Mahkamah Koroner Putuskan Semua Peguam Jadi Pihak Berkepentingan

Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir semasa sidang media selepas prosiding permohonan semakan terhadap keputusan mahkamah dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina pada 3 September 2025.
KOTA KINABALU, 3 Sep – Mahkamah Koroner di sini membenarkan permohonan peguam-peguam yang mewakili lima remaja bawah umur yang didakwa terlibat dengan kes buli Zara Qairina Mahathir untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues membabitkan kematian pelajar Tingkatan Satu itu.
Koroner Amir Shah Amir Hassan memutuskan demikian atas alasan kepentingan semua pihak perlu dilindungi.
“Selepas membaca dan mendengar hujah kesemua pihak, saya mendapati hujah berkait dengan lima juvenil tersebut hanyalah spekulasi. Kesemua kepentingan semua pihak berhak dilindungi.

“Saya benarkan permohonan peguam bagi remaja pertama hingga kelima sebagai pihak berkepentingan. Syarat-syarat yang dikenakan kepada peguam ibu bapa, turut terpakai kepada peguam-peguam lima remaja,” kata Amir Shah.
Sebagai pihak berkepentingan, pihak yang diberikan keterangan dibenarkan untuk bertanya soalan tetapi bukan dalam cara soal balas, akan dibekalkan dokumen termasuk pernyataan saksi berkaitan prosiding.
Pada awal prosiding, peguam-peguam mewakili ibu bapa Zara Qairina, Noraidah Lamat dan Mahathir Mohd. Hashim telah diberi kebenaran oleh mahkamah untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues tersebut selepas tidak mendapat sebarang bantahan daripada mana-mana pihak.

Persatuan Guaman Sabah (SLS) turut dibenarkan untuk berada dalam inkues terbabit sebagai peguam pemerhati dan amicus curie (sahabat mahkamah).
Terdahulu, peguam mewakili ibu Zara Qairina, Rizwandean M. Borhan mengemukakan bantahan terhadap permohonan yang dikemukakan oleh peguam-peguam bela remaja itu.
Hujahnya, permohonan yang dibuat adalah pramatang malahan pertuduhan yang dihadapi oleh lima remaja terbabit tidak berkaitan dengan tujuan inkues dijalankan iaitu bagi mencari punca kematian Zara Qairina.

“Ia seperti mereka (peguam bela tertuduh) sedang melakukan raptai (rehearsal) bagi kes di Mahkamah Kanak-Kanak,”kata peguam itu.
Turut berkongsi sentimen yang sama ialah peguam Jamadi Saleh bagi pihak SLS yang turut menyatakan bahawa inkues bertujuan untuk mencari punca kematian.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
