Kes Jatuh Asrama Sabak Bernam: Polis Kemaskini Kertas Siasatan Ke AGC

Polis sedang mengemaskini kertas siasatan pelajar asrama di Sabak Bernam untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
SHAH ALAM, 3 Sep – Polis sedang mengemaskini kertas siasatan membabitkan kes seorang pelajar Tingkatan Tiga yang parah selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Sabak Bernam, Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata siasatan di lokasi kejadian sudah selesai dilakukan dan semua rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari asrama diperiksa.
“Siasatan sedang berjalan dan aktif, malah siasatan di lokasi kejadian juga sudah selesai dilakukan.

“Sekarang, polis sedang mengemaskini kertas siasatan untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak kepada bahaya.
Pada 24 Ogos lalu, seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga parah selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh selepas dipindahkan dari Hospital Sabak Bernam.
Shazeli pada laporan media 31 Ogos lalu, berkata lebih 12 saksi termasuk pelajar dan kakitangan sekolah, memberi keterangan, namun beliau enggan mengulas jumlah tepat.
Katanya, siasatan kes itu dijalankan dari pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama dan latar belakang sosial mangsa serta rakannya.
Sementara itu, Shazeli berkata, setakat ini, mangsa masih dirawat di hospital dan tidak sedarkan diri.
“Tiada tangkapan dibuat setakat ini. Kita sudah mengambil banyak kenyataan daripada pihak yang relevan dengan siasatan termasuk rakan mangsa yang berada bersamanya ketika kejadian berlaku,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

