Ini Sebab Mengapa Pempengaruh TikTok Maut Dibalut Plastik

Pempengaruh TikTok Esmeralda Ferrer Garibay dan keluarganya ditemukan mati dibalut dengan plastik di dalam trak pikap mereka di Mexico.
GUADALARAJA, 3 Sep – Seorang pempengaruh TikTok, suaminya dan dua anak mereka ditemukan mati dibalut dengan plastik di dalam trak pikap mereka di Mexico, baru-baru ini, menurut pihak berkuasa, lapor Independent.
Polis menemukan sebuah Ford Ranger berwarna kelabu yang ditinggalkan di pusat bandar Guadalajara berisi mayat Esmeralda Ferrer Garibay, 32; Roberto Carlos Gil Licea, 36; Gael Santiago, 13, dan Regina, 7, pada 22 Ogos lalu.
Identiti empat beranak yang baru berpindah dari bandar Michoacan itu dikenal pasti pada Khamis lalu, hampir seminggu selepas mayat mereka ditemukan.

Garibay mengumpul lebih 46,000 pengikut di TikToknya, Esmeralda FG, dengan sering mempamerkan label fesyen berjenama, kereta mewah dan perubahan hasil pembedahan kosmetik dalam videonya.
Bintang media sosial yang sedang meningkat naik itu juga sering menyiarkan video lipsync dengan lagu narco-corrido iaitu balada Mexico yang mengagungkan budaya penyeludupan dadah dengan salah satu video tular Garibay, seperti yang diterjemahkan oleh Latin Times, memaparkan frasa: “Kelebihan mempunyai teman lelaki narco (kartel dadah).”
Hantaran terakhir Garibay pada 7 Ogos lalu yang menerima tiga juta tontonan menunjukkan dia memandu keretanya di sebuah ladang dengan mesej mengenai “kejiranan jalan tanah” dan cuaca buruk.
Bagaimanapun, penyiasat berkata, mereka tidak percaya aktiviti dalam talian ibu kepada dua anak itu adalah motif utama pembunuhan keluarga berkenaan.
Suami Garibay, Licea, yang terbabit dalam perniagaan jual beli kenderaan dan menanam tomato di Michoacan, dipercayai menjadi sasaran sebenar, menurut akhbar harian kebangsaan Mexico, El Financiero.
Unit Siasatan Khas untuk Pembunuhan Sengaja menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan data daripada Kementerian Keselamatan dan Pengawal Kebangsaan untuk menjejaki pergerakan trak Ford Ranger itu ke sebuah bengkel membaiki kereta di Jalan Ejido.
“Lokasi kejadian diproses dan penyiasat menemukan pelbagai bukti yang menunjukkan keluarga itu dibunuh di sana,” kata pendakwa raya Alfonso Gutiérrez Santillan, minggu lalu.
“Walaupun keputusan forensik belum diperoleh, bukti balistik dan darah hampir pasti mengesahkan mereka dibunuh di lokasi itu.”
Dua lelaki yang bekerja di bengkel itu dilaporkan ditahan, namun dibebaskan selepas Pejabat Pendakwa Raya mendapati bukti tidak mencukupi.
Kes itu masih dalam siasatan pihak berkuasa Mexico.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
