Hantaran Palsu: MCMC Siasat ADUN Manjoi Daripada Pas Di Bukit Aman

ADUN Manjoi Mohd Hafez Sabri dirakam keterangan oleh pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di Bukit Aman pada 2 September 2025. Foto MCMC

CYBERJAYA, 3 Sep – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan berkait kes Ahil Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi daripada Pas, Mohd Hafez Sabri dipercayai berhubung hantaran palsu berunsur perkauman mengenai insiden seorang wanita menaiki pentas semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak di Ipoh baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan pada 2 September, suruhanjaya itu memaklumkan hantaran tersebut mendakwa kononnya tindakan tersebut dilakukan seorang perempuan berbangsa Cina.

“Seperti yang telah disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ini adalah tidak benar dan berpotensi menimbulkan ketegangan kaum serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri, di Bukit Aman pada 2 September 2025. Foto MCMC

“Sesi rakaman keterangan serta siasatan lanjut telah dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada hari Selasa (2 September 2025).

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” kata kenyataan itu.

MCMC menegaskan bahawa penyebaran kandungan palsu berunsur perkauman merupakan perbuatan serius yang boleh mengancam keharmonian serta ketenteraman awam.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri, di Bukit Aman pada 2 September 2025. Foto MCMC

Suruhanjaya itu turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial.

Terdahulu, beberapa laporan polis dibuat bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat ADUN Pas itu termasuk Naib Ketua Pemuda Amanah Perak, Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin yang menyifatkan kenyataan yang menyentuh bangsa wanita tersebut dilihat berunsurkan hasutan yang boleh mengundang kebencian antara kaum.

Menurut beliau, perbuatan itu boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *