Kastam Rampas 1.2 Juta Batang Rokok Seludup RM1.23 Juta

Sebuah lori dengan muatan rokok seludup ditahan di kawasan sekitar Demak bagi membantu siasatan. Foto JKDM Sarawak
KUCHING, 2 Jun – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 1,200,000 batang rokok disyaki barang tidak berkastam dianggarkan bernilai RM1.23 juta termasuk duti cukai menerusi satu serbuan, di sini pada Selasa.
Pengarah Kastam Sarawak Norizan Yahya berkata, operasi yang dijalankan oleh sepasukan anggota dari Unit Operasi Darat, Kuching itu dilaksanakan pada jam 2.30 petang di sebuah lokasi di Demak Laut.
“Hasil pemeriksaan di lokasi, pasukan telah menjumpai sebuah lori dengan muatan penuh dan enjin kenderaan masih dihidupkan namun tiada pemandu.
“Pemeriksaan ke atas lori berkenaan menjumpai sejumlah 1,200,000 rokok disyaki tidak berkastam,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Norizan, tiada wakil atau pemilik barang berada di tempat kejadian semasa pemeriksaan ke atas lori berkenaan dilakukan.
“Pasukan juga telah menunggu hampir satu jam namun tiada individu yang tampil mengaku sebagai pemandu lori atau pemilik barang tersebut,” jelasnya.

Norizan berkata, pihaknya menyita barangan tersebut iaitu 1,200,000 batang rokok dan sebuah lori jenama Ford dengan angaran nilai sebanyak RM405,000 manakala anggaran jumlah duti dan cukai yang terlibat adalah sebanyak RM828,000.
“Jumlah nilai keseluruhan barangan termasuk duti dan cukai adalah sebanyak RM1,233,000,” tambahnya.
Mengenai modus operandi yang digunakan, Norizan memberitahu bahawa suspek menggunakan laluan di kawasan terpencil dan tidak menggunakan jalan utama sebagai laluan pengedaran.
Katanya, ia bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa sebelum diedar ke pasaran sekitar.
Sehubungan itu, ujarnya kes kini disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

