‘Terima Kasih PMX, Bantu Kami Pulang Ke Tanah Air’

Pasangan suami isteri yang terkandas di Mekah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) malam tadi. Foto oleh Faiz Alif Zubir
KUALA LUMPUR, 3 Jun – “Terima kasih PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana bantu urusan pulang kami ke sini (tanah air)”.
Itu luahan pasangan suami isteri yang mahu dikenali sebagai Mohammad, 60, dan Ju, 58, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 sejurus tiba dari Mekah pada pukul 7 petang Ahad.
Mohammad dan Ju adalah pasangan suami isteri yang pernah dilaporkan akhbar terkandas di Mekah akibat masalah berkaitan visa pelancongan untuk mengerjakan haji.
Selepas sebulan terkandas di tanah suci, mereka akhirnya dapat pulang ke Malaysia hasil bantuan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah selain kos ditanggung sepenuhnya agensi pelancongan (TA) mereka.
Anak perempuan pasangan itu, Ena, 33, ketika ditemui berkata, dia sekeluarga berada sangat lega dan bersyukur kerana akhirnya ibu bapanya dapat pulang ke tanah air.
“Sebelum ini, saya sekeluarga tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupan mereka ketika terkandas hampir sebulan di tanah suci itu. Mereka hidup dalam ketakutan dan tidak keluar dari bilik.

“Mereka hanya makan mi segera sahaja dalam bilik hotel. Malah, orang ketuk pintu pun mereka tidak respon sebab mereka tidak ada pasport, tidak ada gelang, tidak ada apa-apa, sampai mereka kata rasa seperti pelarian,” katanya.
- Oleh Mohd. Husni Mohd. Noor
Nota: Difahamkan pihak berkuasa akan memanggil pasangan berkenaan bagi membantu siasatan berhubung insiden berkaitan penipuan dalam tempoh terdekat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

