Syarikat Bas Bakal Berdepan Tindakan Biarpun Gantung Pemandu Cuai

Imej tangkap layar sebuah video tular menunjukkan tindakan seorang pemandu sebuah bas ekspres cuba memotong sebuah treler di sebuah lokasi di Lebuhraya Timur-Barat.
KOTA BHARU, 2 Jun – Biarpun Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara) menggantung tugas pemandunya yang memandu secara berbahaya ketika cuba memotong sebuah treler di laluan berselekoh serta bergarisan putih berkembar, syarikat itu pasti akan berdepan tindakan undang-undang.
Siasatan akan dijalankan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta beberapa kesalahan lain membabitkan kecuaian mengendalikan kenderaan komersial di jalan raya.
Maklumat siasatan difahamkan akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat setelah melakukan siasatan terpeinci insiden yang menerima kecaman warganet di media sosial.
Terdahulu, Pengerusi E-Mutiara Che Ibrahim Che Ismail berkata, tindakan penggantungan itu bagi membolehkan siasatan dalaman (domestic inquiry) dapat dijalankan sebaik mungkin.
Menurutnya, pemandu itu juga sudah dipanggil untuk memberi keterangan.
“Tindakan pemandu bas itu bukan sahaja membahayakan penumpang, malah ia turut memberi kesan buruk kepada syarikat.

“E-Mutiara mengambil serius perkara tersebut dan tidak akan berkompromi dengan pemandu yang melakukan kesalahan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Che Ibrahim memberitahu, pihaknya sebelum ini pernah mengambil tindakan terhadap pemandu yang membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Menurutnya, sikap pemandu itu akan menyebabkan syarikat berdepan tindakan daripada pihak berkuasa.
“E-Mutiara sentiasa menitikberatkan soal keselamatan pengguna sepanjang menggunakan perkhidmatan bas di bawah kendalian syarikat berkenaan,” ujarnya.
Beberapa media semalam melaporkan, orang ramai mengecam tindakan seorang pemandu bas ekspres yang memandu secara berbahaya ketika cuba memotong sebuah treler di laluan berselekoh serta bergarisan putih berkembar.
Menerusi satu video berdurasi 40 saat yang tular di media sosial menunjukkan bas berkenaan nyaris dengan sebuah kenderaan dari arah depan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

