Gakpo Seru Liverpool Sedia Ratah Newcastle

Cody Gakpo menyeru pemain Liverpool meneruskan penguasaan liga dengan menewaskan Newcastle di Anfield awal pagi esok. Foto AFP

LİVERPOOL, 1 JanLiverpool bertekad untuk terus mengungguli persada Liga Perdana Inggeris (PL) pada tahun 2024 menjelang aksi menentang Newcastle United di Stadium Anfield jam 4 pagi esok (waktu Malaysia).

Penyerang The Reds, Cody Gakpo menyeru rakan-rakan sepasukan untuk memastikan momentum cemerlang musim ini dapat dikekalkan dalam usaha menjuarai trofi PL buat kali pertama sejak musim 2020.

“Saya rasa kita telah menjalankan tugas dengan baik sejak awal musim ini dengan barisan pemain memahami antara satu sama lain untuk berada di kedudukan sekarang.

“Namun, kami jangkakan cabaran semakin sukar. Perlawanan menentang Newcastle adalah aksi yang cukup penting dengan tekanan pastinya dirasai oleh pasukan memandangkan status kami adalah pendahulu semasa.

“Pasukan lawan juga sudah tentu mahu membuktikan sesuatu bagi mencuri mata berharga. Saya berharap semua pemain dapat mempamerkan prestasi 100 peratus di atas padang kerana lawan juga memiliki pemain berkelas dunia,” katanya.

Cody Gakpo menyeru pemain Liverpool meneruskan penguasaan liga dengan menewaskan Newcastle di Anfield awal pagi esok. Foto AFP

Bintang antarabangsa Belanda itu turut mengakui, pengalaman menyarung jersi The Reds sejak berhijrah daripada PSV Eindhoven pada Januari lepas cukup memberikan pengalaman berharga selepas menjaringan 14 gol sepanjang tahun ini.

“Saya telah melalui tahun yang boleh dianggap cemerlang bersama Liverpool kerana bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan budaya baharu. Harapan saya sudah tentu untuk menjulang trofi bersama pasukan pada masa depan,” kata pemain berusia 24 tahun itu. – AGENSI


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *