Demi Kesejahteraan Rakyat, PMX Terus Gigih Bawa Pelabur Besar Ke Malaysia

Pertemuan antara delegasi negara diketuai sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lebih 50 buah syarikat terkemuka dunia semasa sela Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi jelas membuktikan kesungguhan beliau menarik para pelabur dari serata dunia untuk melabur di Malaysia. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PENDAPAT,30 Apr – Dalam kesibukan menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia di Riyadh, Arab Saudi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi Malaysia turut mengadakan mesyuarat meja bulat bersama lebih 50 pemimpin industri dan perniagaan pelbagai sektor dari seluruh pelusuk dunia.
Turut bersama hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Antara syarikat yang menyertai sesi ini termasuklah Samsung, Chevron, BrainBox AI, Cisco Systems, OmniBot.ai, TotalEnergies, Lulu Group International, Deutsche Bank dan Saudi Industrial Development Fund.
BERTEMU PEMIMPIN INDUSTRI

Ruang bertemu dengan pemimpin industri dan perniagaan ini adalah kesempatan terbaik untuk mendedahkan kepada mereka berkenaan peluang-peluang pelaburan yang terbuka luas di Malaysia.
“Ruang itu saya gunakan untuk memaparkan keutamaan, inisiatif strategik serta kadar pertumbuhan ekonomi dan fiskal negara, selain kewujudan peluang-peluang perdagangan dan pelaburan.
“Sesi seperti ini penting untuk saya dan rakan-rakan meyakinkan pemimpin industri untuk melabur di Malaysia, sekali gus melonjak pertumbuhan ekonomi negara serta mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi buat rakyat Malaysia,” ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Berikutan pertemuan tersebut, ramai pemimpin industri dan perniagaan yang hadir menunjukkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik negara, seterusnya menyatakan minat untuk melabur di Malaysia dalam pelbagai bidang.
“Saya beri jaminan urusan pelaburan mereka akan dipermudah dan disegerakan, terutama selepas kerajaan berjaya menangani isu kerenah birokrasi yang berlanjutan sejak sekian lama sebelum ini.
MEMILIH MALAYSIA
“Saya percaya lebih banyak pelabur-pelabur bernilai tinggi akan memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan, mengikut jejak langkah syarikat-syarikat gergasi seperti Tesla, AWS, Infineon dan NVIDIA,” tambah Anwar lagi.

Seperti dalam banyak lawatan rasmi ke luar negara sebelum, antara kegigihan Perdana Menteri ialah berusaha sebaik mungkin menarik pelaburan asing ke Malaysia.
Sebagai negara membangun, kita memang memerlukan pelaburan asing dan lagi banyak pelaburan asing, lagi sejahtera dan bahagialah kita sebagai rakyat Malaysia.
Usaha gigih PMX menarik seramai mungkin pelabur besar melabur di Malaysia amat dipuji.
Inisiatif PMX ini akan dapat memperkasakan lagi ekonomi negara yang sekali gus memberi kesan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Malaysia MADANI akan bertambah makmur di bawah pimpinan PMX yang namanya semakin mengharum di pentas antarabangsa.
- Oleh Noraini Nordin
Penulis juga ada Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
