City Bakal Untung Kelab Pencabar Hilang Tonggak Utama?

Bintang Liverpool Mohamed Salah antara nama besar yang akan beraksi selama sebulan di AFCON bermula 13 Januari. Foto AFP
LONDON, 3 Jan – Manchester City mungkin mempunyai kelebihan dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (PL) sepanjang bulan ini ketika pencabar mereka kehilangan khidmat beberapa pemain utama disebabkan Piala Negara-Negara Afrika dan Piala Asia.
Hanya enam mata memisahkan lima kelab teratas selepas musim perayaan yang sibuk dan sesetengah pengurus akan menggunakan pasaran perpindahan untuk menampung ketiadaan pemain bintang mereka.
Ketika Liverpool akan kehilangan pemain Mesir, Mohamed Salah dan Tottenham Hotspur terpaksa berjuang tanpa bintang Korea Selatan, Son Heung Min, juara bertahan Manchester City tidak langsung terjejas.
Pengurus City, Pep Guardiola tidak mempunyai seorang pemain pun yang berlepas sama ada ke Qatar atau Ivory Coast bagi kejohanan sebenua yang bermula masing-masing pada 12 dan 13 Januari ini dan berlangsung hampir sebulan.
Pendahulu Liverpool, yang mengatasi Aston Villa dengan tiga mata selepas kemenangan ke atas Newcastle United awal pagi semalam, akan terasa ketiadaan Salah yang menyumbat 14 gol sekali gus muncul pendahulu bersama penjaring terbanyak PL musim ini di samping Erling Haaland.

Mereka turut kehilangan khidmat pemain tengah Wataru Endo yang akan menyertai skuad Jepun.
Pencabar kejuaraan mengejutkan Villa akan kehilangan seorang pemain Bertrand Traore kepada Burkina Faso tetapi pasukan tangga keempat Arsenal pasti tergugat dengan Mohamed Elneny (Mesir) dan Takehiro Tomiyasu (Jepun) akan mewakili pasukan kebangsaan dalam tempoh yang tidak menentu, bergantung kepada kemaraan pasukan negara mereka.
Tottenham dibelenggu beberapa kecederaan dalam beberapa bulan terakhir dan kini pengurus Ange Postecoglou terpaksa menyesuaikan diri tanpa kapten Heung Min, yang menyumbat 12 gol dalam liga tetapi kini mewakili Korea Selatan.
Tottenham turut kehilangan pemain tengah Yves Bissouma kepada Mali manakala Pape Sarr, yang cedera menentang Bournemouth Ahad lalu, sebahagian daripada skuad Senegal.
West Ham, yang menghuni tangga keenam, akan terjejas dengan ketiadaan pemain tengah Ghana, Mohammed Kudus.

Pengurus Manchester United, Erik ten Hag yang tertekan terpaksa beraksi tanpa Andre Onana (Cameroon), Sofyan Amrabat (Maghribi) dan Amad Diallo (Ivory Coast) ketika beliau cuba mengubah nasib buruk pasukan itu musim ini.
Di bahagian bawah carta, Nottingham Forest paling terjejas kerana mereka terpaksa meneruskan perjuangan tanpa enam pemain bagi beberapa minggu akan datang termasuk trio Ivory Coast, Serge Aurier, Willy Boly dan Ibrahim Sangare.
Kelab bermasalah Brentford akan kehilangan khidmat pemain tengah Saman Ghoddos (Iran) dan Frank Onyeka (Nigeria) di samping penyerang Yoane Wissa (DR Congo).
PL berehat hujung minggu ini dengan pusingan ketiga Piala FA dilangsungkan manakala semua kelab mempunyai satu atau dua minggu susulan rehat mini musim sejuk.
Pada ketika itu perlawanan peringkat kumpulan Piala Negara-Negara Afrika dan Piala Asia akan hampir berakhir, bermakna beberapa pemain mungkin akan kembali ke kelab masing-masing. – REUTERS
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
