Hajat Ibu Mbappe Sertai Liverpool

Fayza Lamari (kanan) dikatakan mahu anaknya Kylian Mbappe (bertopi) menyertai Liverpool satu hari nanti. Foto Liverpool Echo
LONDON, 3 Jan – Bintang Paris Saint-Germain (PSG) dan Perancis, Kylian Mbappe boleh memenuhi impian ibunya Fayza Lamari dengan menyertai Liverpool.
Fayza dikatakan menjadi peminat tegar The Reds dan mahukan anaknya beraksi bersama kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (PL) itu suatu hari nanti.
“Saya berunding dengan Liverpool kerana ia kelab kegemaran ibu saya, ibu saya sukakan Liverpool. Saya tidak tahu kenapa, tetapi anda perlu bertanya kepadanya! Ia sebuah kelab yang bagus dan kami bertemu mereka lima tahun lalu,” kata Mbappe yang dilapor pernah berunding dengan kelab Anfield itu.
Menurut laporan akhbar Le Parisien, kedua-dua Real Madrid dan Liverpool berusaha memikat pemain antarabangsa Perancis itu secara perpindahan percuma pada musim panas akan datang.

Mbappe mempunyai pilihan untuk bersetuju dengan prakontrak bulan ini, meninggalkan PSG secara percuma pada musim panas akan datang dan ketara sekali dikaitkan dengan dua kelab itu.
Media Perancis itu masing-masing menyatakan Liverpool membayangkan untuk menggantikan bintang Mesir, Mohamed Salah dengan mendapatkan khidmat Mbappe.
Bekas pemain Monaco itu terbuka kepada semua pilihan dan akan mempertimbang perpindahan ke Liverpool, menganggap mereka sebagai “calon paling mempunyai kredibiliti dan berbahaya.”
Menurut edisi terbaharu AS, harga pasaran semasa Mbappe adalah £156 juta (RM913 juta), setaraf dengan Erling Haaland.
Bagaimanapun dijangkakan tiada siapa akan membayar yuran perpindahan sebanyak itu memandangkan pemain itu akan meninggalkan Paris secara percuma.
Pada tahun 2022, Mbappe mendedahkan kepada The Telegraph dia berunding bersama Liverpool, kelab yang mendapat tempat istimewa sebagai kelab kegemaran ibunya.
Inilah peluang buat Liverpool untuk mendapatkan tandatangan Mbappe memandangkan mereka tidak perlu membayar sebarang yuran perpindahan.
Bolehkah Mbappe memenuhi hasrat ibunya dan menyertai The Reds pada musim panas akan datang? – AGENSI
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
