Bomba Keluarkan Mangsa Nahas Tersepit Antara Lori Dan Treler

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit pada bahagian kaki di kerusi duduk pemandu lori terbabit di Lebuh Raya Pan Borneo Miri-Bintulu malam tadi. Foto JBPM

BINTULU, 11 Ogos – Seorang lelaki berumur 34 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki apabila tersepit selepas lori tiga tan yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di kawasan Batu 10 Lebuh Raya Pan Borneo Bintulu-Miri, malam tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu bergegas ke lokasi setelah menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.42 malam.

“Sejurus sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati berlaku kemalangan yang membabitkan sebuah lori tiga tan dan sebuah lori treler di laluan berkenaan,” jelas beliau.

Pemeriksaan yang dijalankan katanya, mendapati terdapat seorang mangsa tersepit pada bahagian kaki di kerusi duduk pemandu lori.

Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

Selepas berjaya dikeluarkan, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi rawatan lanjut.

Pasukan bomba kemudiannya menjalankan kerja pembersihan dan semburan di kawasan kemalangan sebelum menamatkan operasi dan bertolak balik ke balai.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *