Pantang Ditegur, Tukang Gunting Rambut Cederakan Pelanggan Sendiri

Imej tangkap layar video tukang gunting rambut menyerang pelanggan dengan parang. Foto Agensi
JAKARTA, 11 Ogos – Tindakan seorang tukang gunting rambut mencederakan pelanggan dengan parang di Morowali, Sulawesi Tengah menjadi tular di laman sosial di Indonesia.
Portal dalam talian Tribunnews melaporkan, insiden itu dipercayai berlaku selepas suspek berang apabila mangsa meluahkan rasa tidak puas hati dengan potongan rambut dibuatnya.
Video itu dimuat naik menerusi akaun X @folkshittmedia pada Jumaat lalu.
Rakaman awal video menunjukkan kekecohan di Jalan Trans Desa Bahomakmur, dekat hadapan Pusat Kesihatan Masyarakat Bahodopi.
Suspek dilihat mengejar pelanggan dengan parang. Mangsa melarikan diri sebelum terjatuh kemudian diserang suspek.
Suspek menghayunkan parang ke tubuh mangsa berulang kali.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu bagaimanapun tidak berani untuk menghampiri mereka.
Mereka bagaimanapun meminta suspek menghentikan perbuatannya, sementara ada penduduk yang ketakutan sejurus melihat kejadian itu.
Pada akhir video, tidak diketahui nasib suspek dan mangsa, tetapi rakaman berkenaan sudah meraih perhatian masyarakat.
Sementara itu, Ketua Polis Bahodopi Ipda Muhammad Iqbal mengesahkan kejadian berlaku pada Jumaat, kira-kira jam 2 petang waktu tempatan.
Polis sudah ke lokasi kejadian dan dalam usaha menjejaki suspek yang melarikan diri.
Sementara itu, mangsa mengalami kecederaan akibat tusukan parang pada bahagian dada kanan, kaki kiri dan jari kelingking tangan kanan.
Kini, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Morowali.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

