Australia Dedah Wujud Campur Tangan Asing Dalam Hal Ehwal Negara

Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia (ASIO), Mike Burgess (kiri) bersama Komisioner Polis Persekutuan Australia (AFP) Reece Kershaw. Foto Reuters
SYDNEY, 11 Ogos – Ketua perisik Australia hari ini mendakwa beberapa negara termasuk yang mempunyai hubungan baik dengannya, menjalankan operasi campur tangan asing di negara itu.
Katanya, jika identiti negara-negara berkenaan didedahkan, ia akan mengejutkan ramai orang.
Tahun lalu, Canberra menamakan Iran sebagai negara asing yang mencampuri urusan negaranya, sambil menambah pasukan perisikan Australia sudah membanteras ‘individu’ mendalangi operasi mengawasi rumah warga Australia berketurunan Iran.
Bagaimanapun menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia (ASIO), Mike Burgess, negara lain juga secara rahsia cuba campur tangan dalam sistem politik Australia dan hal ehwal komuniti diasporanya.
“Saya fikir ada sekurang-kurangnya tiga atau empat yang kami dapati secara aktif terbabit melakukan campur tangan asing dalam komuniti diaspora Australia.
“Sesetengah daripada mereka, jika didedahkan identitinya, akan mengejutkan anda. Ada di antara mereka adalah rakan yang mempunyai hubungan baik,” katanya dalam temu bual dengan penyiar awam ABC.
Bagaimanapun, Burgess enggan mengenal pasti negara terbabit selain mengesahkan dakwaan kerajaan mengenai pembabitan Iran.
Katanya, campur tangan asing, pengintipan dan keganasan bermotifkan politik adalah kebimbangan keselamatan utama Australia.
“Dalam komuniti diaspora, terdapat beberapa negara yang cuba mengancam dan menakut-nakutkan warga Australia yang tinggal di negara ini.
“Apabila kami mengetahuinya, kami akan berusaha menanganinya dengan berkesan,” katanya.
Pada 2022, Burgess mendedahkan ASIO menggagalkan rancangan campur tangan asing oleh individu kaya yang hanya dinamakan sebagai ‘tok dalang’ dengan hubungan yang erat dengan kerajaan asing.
Katanya, individu itu menyalurkan ratusan ribu dolar kepada seorang pekerja untuk cuba mempengaruhi pilihan raya pada ketika itu, tanpa menyatakan blok undi mana yang disasarkan.
Bulan ini, ASIO meningkatkan tahap ancaman keganasan Australia kepada ‘berkemungkinan’ dengan mengatakan peningkatan tempatan dalam ideologi pelampau yang meningkatkan kemungkinan berlakunya tindakan ganas dalam tempoh setahun akan datang.
Semalam, Burgess dilaporkan berkata, penyebaran maklumat salah di media sosial menyukarkan kerajaan menangani ancaman keganasan bermotifkan politik, dengan kanak-kanak bawah umur ‘terkunci dalam bilik tidur dengan peranti mereka’ dan semakin terdedah kepada pengaruh pelampau yang ganas.
Ketua perisik itu berkata, ASIO akan terus memantau risiko sedemikian sekitar pilihan raya umum Australia akan datang, yang secara meluas dijangka diadakan pada 2025, kerana ia akan menjadi ‘titik tumpuan’ untuk perbahasan bersemangat mengenai isu sosial. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



