Aminuddin Senyum Lebar NS Fest 2022 Sarat Pelbagai Manfaat Buat Rakyat

NILAI, 29 Jul – Tiga dalam satu.

Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan (HPPNS), Bulan Usahawan Negeri Sembilan, dan Food Fest Negeri Sembilan dirangkumkan dalam satu festival meriah dinamakan NS Fest 2022.

Menyaksikan sendiri festival berkenaan yang diadakan di Dataran Nilai, dekat sini sudah cukup membuatkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun tersenyum lebar dari pagi hingga ke malam sepanjang hari pada Khamis.


Bermula dengan majlis perasmian NS Fest disusuli dengan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2022 hingga persembahan pelbagai kebudayaan masyarakat di negeri ini, pastinya menggamit pengunjung yang datang silih-berganti.

“Saya berkesempatan meluangkan masa di tapak pesta NS Fest dari pagi tadi hingga malam ini bagi meluangkan masa beramah mesra bersama para pengunjung dan para peniaga.

“Pagi ini dimulakan dengan perasmian NS Fest serta Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2022 yang diadakan dengan penuh gilang gemilang,” ujar beliau di Facebook pada Khamis.


Beliau sendiri turun padang menyerahkan Jalur Gemilang kepada para pengunjung yang datang bertali-arus mendapatkan pelbagai maklumat dan produk makanan yang ditawarkan selepas majlis pelancaran rasmi festival yang turut dihadiri EXCO Kerajaan Negeri serta agensi kerajaan negeri terbabit.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menzahirkan rasa syukur dan tahniah kepada semua pihak yang memberikan sokongan terbaik terhadap kelancaran program selama empat hari ini.

Festival kali ini diadakan semula setelah ditangguhkan ekoran penularan pandemik Covid-19 dan penganjur giat mempromosi festival berkenaan kepada pengunjung tempatan terutamanya sekitar Lembah Klang.

Selain daripada pameran agensi kerajaan, pelbagai aktiviti sampingan juga tambah memeriahkan lagi festival kali ini seperti petting zoo, pertandingan fesyen, persembahan artis jemputan, Pameran Hasil Pertanian, Pameran Ternakan, Pameran dan Jualan Mekanisasi dan semestinya yang paling ditunggu-tunggu adalah Durio Fest.


“Tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang memberikan sokongan terbaik terhadap kelancaran program tersebut.

“Setelah 2 tahun tidak dapat dilaksanakan akibat COVID-19, NS Fest yang merupakan gabungan tiga program tahunan utama negeri iaitu Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan atau HPPNS, Bulan Usahawan Negeri Sembilan, dan Food Fest Negeri Sembilan mendapat sambutan yang amat meriah daripada peniaga mahupun pengunjung.

“Pelbagai acara telah disusun dengan tarikan utama di gerai jualan usahawan tempatan Negeri Sembilan, produk hasil keluaran sektor pertanian Negeri Sembilan dan kios jualan makanan cita rasa Negeri Sembilan.


“Selain daripada pameran agensi kerajaan, pelbagai aktiviti sampingan juga akan memeriahkan lagi program ini seperti petting zoo, pertandingan fesyen, persembahan artis jemputan, Pameran Hasil Pertanian, Pameran Ternakan, Pameran dan Jualan Mekanisasi dan semestinya yang paling ditunggu-tunggu adalah Durio Fest.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada tahun 2019, NS Fest telah merekodkan keseluruhan hasil jualan sebanyak RM1.1 juta.

“Manakala sepanjang tempoh NS Fest 2019, dilaporkan sebanyak 67 sesi pemadanan perniagaan berjaya dilaksanakan dengan nilai urus niaga melebihi RM3 juta,” tambah beliau.


“Besarlah harapan saya agar NS Fest 2022 dapat merekodkan hasil yang lebih tinggi lagi yang seterusnya mampu menjana ekonomi setempat khususnya dan Negeri Sembilan amnya.

“Oleh itu saya menjemput seluruh rakyat Negeri Sembilan untuk hadir bersama-sama ke NS Fest dan bersama-sama memeriahkan lagi sambutan program tersebut,” ujarnya lagi.

Ayuh Malaysia, kita ramai-ramai gegarkan NS Fest 2022 bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita selain dapat menikmati suasana meriah daripada pebagai gerai dan aktiviti yang disediakan sehingga Ahad ini.


Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:

Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun

Twitter: https://twitter.com/MenteriBesarNS

Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *