13 Remaja Lelaki Didakwa Bunuh Pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu

Tiga belas remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Kolej Vokasional di sini, bulan lepas. Foto Bernama

LAHAD DATU, 2 AprTiga belas remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Kolej Vokasional di sini, bulan lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kesemua remaja yang berusia antara 16 hingga 19 tahun itu dituduh bersama-sama membunuh Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 21 Mac dan 22 Mac lalu kira-kira 9 malam hingga 7.38 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun namun tidak melebihi 40 tahun dan tidak lebih 12 sebatan.

Tiga belas remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Kolej Vokasional di sini, bulan lepas. Foto Bernama

Prosiding secara tertutup berlangsung di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani pada 9 pagi dan hanya keluarga tertuduh dibenarkan berada di bilik bicara kerana membabitkan kes juvana.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao sementara dua tertuduh diwakili peguam Amirul Amin Rashid serta Kamarudin Mohmad Chinki manakala 11 tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 16 Mei ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia serta bedah siasat diserahkan.

Terdahulu media melaporkan seorang pelajar lelaki ditemui mati di bilik asrama, dipercayai dibelasah rakan di sebuah Kolej Vokasional di sini.

Muhd Nazmie Aizat ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas, pada jam 6.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh pengarah kolej berkenaan.

Katanya, mangsa adalah penghuni asrama kolej berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *