Korea Utara Lancar Peluru Berpandu Balistik Dikecam Jepun, Korea Selatan
SEOUL, 2 Apr – Korea Utara disyaki membedil peluru berpandu balistik jarak pertengahan ke laut di luar pantai timur negara itu hari ini.
Tindakan yang mencetuskan kecaman serta-merta daripada Perdana Menteri Jepun itu dimaklumkan tentera Korea Selatan.
Ketua Turus Bersama Korea Selatan berkata, pihaknya mengesan pelancaran terbabit dari Pyongyang, Korea Utara pada jam 6.53 pagi tadi (waktu tempatan).
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan jenis peluru berpandu itu, tetapi Korea Utara sedang menguji peluru berpandu hipersonik jarak pertengahan baharu dikuasakan enjin bahan api pepejal.

Bercakap kepada pemberita, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengecam Korea Utara susulan pelancaran peluru berpandu yang menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau itu.
Pengawal Pantai Jepun pula berkata, peluru berpandu itu jatuh ke dalam laut, di luar zon ekonomi eksklusif (EEZ) Jepun, seperti dilaporkan penyiar NHK.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un Mac lalu menyelia ujian darat enjin bahan api pepejal bagi peluru berpandu hipersonik jarak pertengahan baharu untuk membangunkan keupayaan pertahanan negara, lapor media kerajaan.
Korea Utara baru-baru ini, berkata tidak berminat menyertai sidang kemuncak dengan Jepun dan akan menolak sebarang rundingan yang berpotensi memburukkan ketegangan hubungan kedua-dua negara itu.
Amerika Syarikat (AS) dan sekutu utama di Asia, Korea Selatan dan Jepun memperluas kerjasama keselamatan ketika lonjakan kebimbangan mengenai hubungan ketenteraan lebih erat Russia-Korea Utara
Selain sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Washington, kerajaan AS juga sedang mengatur sidang kemuncak antara Presiden Joe Biden dan rakan sejawatannya dari Jepun dan Korea Selatan, dijadualkan pada Julai ini, lapor media Jepun.
- REUTERS
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
