Taktik Cuba Seludup Dadah Guna Termos Air Panas Tumpas

Suspek dan syabu yang dirampas di CIQ Lama dibawa IPD Tawau untuk tindakan lanjut.

TAWAU, 1 AprSeorang lelaki ditahan selepas disyaki cuba membawa keluar dadah jenis syabu seberat 500.53 gram di Jeti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama, di sini pada 29 Mac lepas.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, suspek berusia 29 tahun terbabit cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyembunyikan semua dadah berkenaan di dalam bekas termos air panas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat dan risikan mengenai aktiviti membawa dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, anggota Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama sepasukan anggota dari Balai Polis Tawau segera bertindak menjalankan operasi di jeti berkenaan.

Suspek dan syabu yang dirampas di CIQ Lama dibawa IPD Tawau untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki warga asing dan menemukan dadah jenis syabu seberat 500.53 gram yang disembunyikan di dalam sebuah bekas termos air panas.

“Suspek juga dipercayai cuba membawa semua dadah berkenaan menuju ke Sungai Aji Kuning melalui CIQ Lama,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya siasatan lanjut mendapati semua dadah berkenaan dibawa masuk dari luar daerah Tawau sebelum dihantar untuk pasaran di negara jiran.

Katanya, suspek terbabit juga mengaku bahawa dia akan diberikan sejumlah wang tunai negara jiran sekiranya semua dadah berkenaan berjaya dibawa keluar.

“Suspek bersama dadah yang dianggarkan bernilai RM33,000 itu dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Suspek kini direman selama tujuh hari dari tarikh tangkapan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Jasmin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan rangkaian kegiatan pengedaran atau sindiket lain yang terlibat.

“Polis akan sentiasa bertanggungjawab memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini sentiasa terjamin walaupun menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *