Zainul Asri Akui Silap, Tidak Direman Namun Siasatan Tetap Berjalan

Saifuddin Nasution pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing hari ini. Foto BH.
PUTRAJAYA, 27 Jun – Bekas Timbalan Ketua Dewan Ulamak Pas Kedah, Muhd Zainul Asri Mohd Romli yang dipanggil memberi keterangan berhubung ucapan berkait isu ‘musuh Allah’ semalam, tidak akan direman.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata dalam keterangan kepada pihak polis, Muhd Zainul mengakui kesilapan mengungkap kalimah berkenaan.
“Saya dimaklum pihak polis bahawa mereka sudah pun memanggil Ustaz (Muhd Zainul) semalam.

“Dalam pertemuan awal beliau dengan polis, beliau mengakui kesilapannya mengungkap kalimah itu.
“Dia (Muhd Zainul) tidak akan direman, namun polis maklum akan teruskan siasatan sebab kertas siasatan sudan dibuka kerana ada aduan,” katanya pada sidang media di sini hari ini
Muhd Zainul Asri hari ini membuat permohonan maaf berhubung ucapannya berkaitan isu ‘musuh Allah’ ketika program Himpunan Kedah Berselawat, Sabtu lalu.
Dalam video berdurasi lebih tiga minit yang disiarkan di Facebooknya, semalam, penceramah bebas itu berkata ucapannya tidak ditujukan kepada mana-mana pihak dan sudah disalah tafsir.
Beliau sebaliknya berkata, apa yang dimaksudkan dalam ucapannya adalah menyentuh mengenai satu firman Allah.
Pagi semalam, Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur terhadap pemimpin Pas Kedah itu yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, kempen menyentuh bangsa, agama dan raja (3R) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kalau tidak dibendung boleh memberi kesan besar.
“Di Malaysia ini siapa musuh Allah, ini cerita hendak memilih kerajaan negeri sahaja.
“PRN kalau tidak dibendung kempen secara 3R ini, akan beri kesan besar terutama kalau datang daripada golongan agamawan dan dalam masyarakat konservatif muslim, ia memberi lebih kesan.
“Biarlah PRN ini, polisi lawan polisi, kalau Kedah itu polisinya mengenai masalah bekalan air, jadi kita tawarkan, kalau pilih kita, boleh selesaikan masalah itu, itu contoh,” katanya.
