Wargakota Teruja Miliki Rumah Projek Kejiranan MADANI, Ucap Terima Kasih Pada PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika tiba bagi mengumumkan lima jenis kejiranan MADANI di Kepong, Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Facebook Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Langkah Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan perumahan Kejiranan MADANI disifatkan tepat pada masanya dalam membantu dan memberi lebih peluang kepada rakyat berpendapatan rendah, khasnya golongan muda untuk memiliki kediaman sendiri dalam keadaan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Pekerja swasta, Alias Abdullah, 51, berkata tindakan kerajaan itu tepat pada masanya, sekali gus menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri dan kerajaan terhadap keperluan generasi muda untuk memiliki rumah dengan harga mampu milik.
“Ia adalah satu berita yang baik dan dapat menarik minat golongan muda untuk memiliki rumah. Saya sendiri akan mengesyorkannya kepada anak-anak (untuk membeli rumah).

“Cuma saya berharap agar kerajaan dapat mempermudahkan urusan jual beli rumah seperti pinjaman bank dan kos guaman,” katanya pada Jumaat.
Terdahulu kerajaan memperkenalkan lima projek pembangunan Kejiranan MADANI Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bagi memberi peluang golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.
Keprihatinan Perdana Menteri terserlah ketika mengumumkan perkara itu yang dipetik sebagai berkata berkata kesemua projek yang akan dibangunkan pada tahun ini memberi peluang kepada kategori M40 dan B40 serta golongan belia memiliki rumah dengan harga RM150,000 hingga RM200,000.
Ia sebagai tanda keseriusan Perdana Menteri mahu wargakota memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa mengikut kemampuan masing-masing.
Lima projek akan dibangunkan itu membabitkan:
a) Residensi Prihatin MADANI
b) Residensi MADANI
c) Residensi Sejahtera MADANI
d) Rumah Majlis MADANI dan
e) Rumah Ihsan MADANI
Sementara itu seorang pesara, Rohaya Mustafa, 52, berkata pengenalan konsep Kejiranan MADANI itu sendiri sudah menunjukkan tahap kebersamaan masyarakat di dalam sesuatu kawasan.
“Dalam satu kawasan itu, sudah disediakan dengan pelbagai kemudahan asas… masyarakat juga pelbagai selain penduduk tidak perlu keluar jauh untuk mendapatkan sesuatu,” katanya.
Bagi usahawan Roy Pheh Wai Jung, 36, dari Ampang berkata jika dibandingkan dengan negara Asia lain, kerajaan Malaysia masih mampu menyediakan rumah dengan tawaran harga yang murah dan berpatutan.
“Ia usaha yang bagus, walaupun harga rumah rendah, kemudahan asas lain tetap tidak dilupakan bagi memberi keselesaan kepada rakyat,” katanya.
